Exco: KJ ambil info 'kedai kopi'
Kerajaan negeri Selangor menyelar kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin yang mendakwa Selangor tidak prihatin masalah pembaikan dua buah stadium hoki negeri.
Dua buah stadium hoki yang dimaksudkan ialah Stadium Hoki Pandamaran, Klang dan Stadium Hoki Majlis Perbandaran Petaling jaya (MBPJ), Petaling Jaya.
Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Ahmad Yunus Hairi mengingatkan supaya Khairy lebih informatif memberikan kenyataan daripada terus menuding jari.
"Saya ingin mengingatkan kepada Khairy supaya tidak mengambil maklumat daripada ‘sembang gebang kedai kopi’ ataupun daripada ‘hiruk pikuk pasar borong’ dan kemudian terus menyalahkan kerajaan negeri Selangor,” katanya.
Ahmad Yunus juga menegaskan kerajaan negeri mengambil serius pembaikan buah stadium hoki itu dan sedang dalam peringkat akhir semakan kertas kerja untuk dibentangkan bagi mendapat kelulusan exco.
Katanya, kerja-kerja baik pulih akan dilakukan setelah mendapat kelulusan itu dengan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Sementara itu, beliau juga berharap BN tidak mempolitikkan isu itu dan menjelaskan Pakatan Rakyat baru sahaja mewarisi pentadbiran BN di Selangor pada tahun 2008.
"Janganlah hanya pandai menuding jari dan meletakkan kesalahan kepada kerajaan Pakatan yang terpaksa mewarisi kelemahan dan kecuaian pentadbiran BN sebelum ini," katanya.

