MCA: Penculikan terbaru cemar reputasi k'jaan
Timbalan Setiausaha Agung MCA, Wee Jeck Seng hari ini berpendapat penculikan terbaru melibatkan seorang wanita China dan Filipina di Sabah menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan, ketika mencadangkan supaya kajian semula keselamatan dalam negara.
"Kes penculikan baru-baru ini akan hanya menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan, oleh itu kita perlu mengkaji dengan teliti prosedur keselamatan negara kita," kata Wee Jeck Seng dalam satu kenyataan hari ini.
Wee berkata insiden terbaru yang berlaku di tengah ketegangan hubungan China dan Malaysia sejak kehilangan pesawat MH370, menjejaskan lagi reputasi negara.
"Imej Malaysia sekali lagi dicemari melalui penculikan baru-baru ini oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Singamata Reef Resort, Sabah," katanya.
Penculikan pada malam Rabu itu di Semporna - bandar di pantai timur Sabah - adalah kejadian kurang daripada empat bulan selepas kejadian sama berlaku dekat Pulau Pom-Pom yang melibatkan seorang lelaki Taiwan dibunuh dan isterinya diculik ke Filipina.

