Pasukan penyiasatan bebas ditubuhkan
Sebuah pasukan penyiasatan bebas yang merangkumi kumpulan layak terbang, kumpulan operasi dan kumpulan perubatan dan faktor manusia, akan ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Malaysia akan melantik seorang 'Penyiasat Bertangungjawab' yang bebas untuk mengetuai pasukan itu, seperti yang diperlukan oleh amalan standard dan perakuan antarabangsa Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
"Pasukan penyiasatan ini juga turut disertai negara-negara bertauliah. Malaysia telahpun meminta Australia menjadi wakil rasmi kepada pasukan penyiasatan ini, dan mereka telah menerimanya.
"Kami juga akan memasukkan China, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis sebagai wakil rasmi dalam pasukan penyiasatan ini bersama-sama dengan negara lain yang kami rasa berada dalam situasi untuk membantu," katanya dalam sidang akhbar mengenai pencarian MH370 hari ini.
Beliau berkata kumpulan layak terbang akan mengkaji isu-isu seperti rekod penyelenggaraan, struktur dan sistem, kumpulan operasi mengkaji perkara seperti perakam penerbangan, operasi dan meteorologi manakala kumpulan perubatan dan faktor manusia akan menyiasat isu seperti faktor psikologi, patologi dan kelangsungan hidup.
Hishammuddin berkata kerajaan juga menubuhkan tiga jawatankuasa peringkat menteri iaitu Jawatankuasa Waris, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Penempatan Aset dalam usaha untuk memperkemas dan memperkukuh usaha berterusan operasi pencarian pesawat.
Jawatankuasa Waris diketuai oleh Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Hamzah Zainuddin yang akan menyelia semua aspek berhubung waris mereka yang menaiki pesawat MH370, dengan memberi mereka maklumat mengenai operasi pencarian dan menawarkan sokongan selepas operasi pencarian berakhir, katanya.
Menurutnya jawatankuasa itu akan menyelaras dengan kerajaan asing berkenaan, dan akan melengkapkan usaha yang telah dilakukan oleh MAS untuk anggota keluarga.
Hishammuddin berkata Jawatankuasa teknikal yang diketuai Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi pula menyelia aspek teknikal, khususnya, penubuhan dan pelantikan pasukan penyiasatan.
Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata Jawatankuasa Penempatan Aset akan diketuai oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri yang akan memantau isu-isu berkaitan operasi pencarian.
"Jawatankuasa ini akan bekerjasama dengan rakan sejawatan dari negara asing yang terlibat dalam operasi pencarian dan berhubung rapat dengan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia," kata beliau.
Mengenai dakwaan tidak berasas yang dibuat terhadap Malaysia mengenai kehilangan MH370, termasuk kenyataan bahawa pihak berkuasa Malaysia terlibat dengan apa yang berlaku kepada pesawat itu, Hishammuddin berkata:
"Saya ingin menegaskan bahawa semua dakwaan ini, untuk rekod, adalah tidak benar sama sekali. Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, pencarian MH370 hendaklah mengatasi politik.
"Justeru itu, saya menyeru semua rakyat Malaysia supaya bersatu dan berdiri teguh di belakang Angkatan Tentera kita kerana mereka menjalankan tugas dalam keadaan yang sukar bersama rakan sejawatan dari negara asing, beribu-ribu batu jauhnya dari tanah air, dan menyokong semua mereka yang berusaha tanpa mengenal penat untuk mencari MH370.
Mengenai Forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean, Hishammuddin berkata semangat kerjasama yang ditampilkan pada mesyuarat itu dan sokongan yang diberikan, adalah amat dipuji.
"Pada pertemuan dua hala dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Chuck Hagel, beliau mengulangi komitmennya bahawa Amerika Syarikat akan terus membantu operasi pencarian, dan akan menawarkan apa-apa aset yang difikirkan perlu.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Hagel atas sokongan Amerika Syarikat yang berterusan termasuk penghantaran aset tentera laut dan tentera udara, peralatan mencari bawah permukaan laut yang canggih, serta bantuan daripada FBI, NTSB dan FAA," katanya.
Hishammuddin berkata di forum itu, beliau juga menerima sokongan padu daripada rakan-rakan Asean bagi misi pencarian MH370.
- Bernama

