MCA tegur Khairy cadang kuota kaum untuk PR1MA
Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon menegur rakan sejawatannya dari Umno, Khairy Jamaluddin yang mencadangkan supaya diperkenalkan kuota kaum bagi Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).
"Pemuda MCA tidak bersetuju dengan cadangan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin supaya kuota 30 peratus untuk bumiputera dan belia diperuntukkan dalam sistem pengundian PR1MA.
"Dengan melaksanakan satu sistem kuota, ia bercanggah dengan
hasrat kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah mampu milik," kata Chong dalam satu kenyataan hari ini.
Pada hari Rabu, Khairy mencadangkan kajian semula sistem pengundian bagi skim perumahan mampu milik kerana ia tidak menjamin 30 peratus bumiputera atau belia berjaya dalam permohonan mereka yang merupakan kebiasaan bagi projek perumahan kos sederhana dan rendah.
Khairy berkata ia adalah keputusan kolektif exco Pemuda Umno.
Bagaimanapun, Chong menegaskan bahawa sistem pengundian itu menunjukkan kerajaan berlaku adil dan tidak berat sebelah dalam peruntukan perumahan mampu dimiliki tetapi kuota mengikut kaum tidak baik untuk kerajaan.
"Ini (kuota kaum) akan menyebabkan ramai orang tidak puas hati, dan mereka akan mula mempersoalkan keikhlasan kerajaan dalam melaksanakan PR1MA kerana ia akan kelihatan seolah-olah berat sebelah atau berlaku diskriminasi," tegasnya.
Bagaimanapun, Chong berkata sistem itu boleh diperbaiki dengan melaksanakan sistem saringan bagi memastikan status kewangan pemohon.
"Ini akan memberi layanan adil dan sama rata bagi mereka yang benar-benar memerlukan rumah, tanpa mengira bangsa atau umur," katanya.

