Semporna masih dikunjungi pelancong
Kedatangan pelancong ke pulau peranginan di sekitar Semporna tidak terjejas walaupun berlaku insiden penculikan membabitkan dua wanita, termasuk seorang pelancong warga China di sebuah resort atas air, Singamata Adventures Reef and Resort, di Semporna Rabu lepas.
Tinjauan Bernama di sekitar Semporna mendapati masih banyak pelancong tempatan dan luar negara berkunjung ke pusat-pusat peranginan sekitarnya.
Pengusaha resort yang ditemui juga mengakui insiden yang berlaku kira-kira 10.30 malam tiga hari lepas itu, tidak memberi sebarang kesan buruk kepada perniagaan mereka.
Pemilik sebuah resort di Pulau Mabul yang hanya ingin dikenali sebagai 'Uncle' Chang berkata insiden itu tidak memberi sebarang kesan negatif kepada aktiviti pelancongan di situ kerana aktiviti berjalan seperti biasa dan tiada tempahan dibatalkan.
"Saya yakin aktiviti pelancongan di sini tidak terjejas dan kita sendiri lihat masih banyak pelancong yang datang. Kami menerima 70 hingga 80 pelanggan setiap hari sebelum ini dan hari ini juga kami menerima kira-kira 70 orang pelancong," katanya ketika ditemui Bernama di Semporna, hari ini.
Seorang lagi pemilik sebuah resort di Pulau Sipadan Sim Kim Yaw berkata tempahan pelancong di resortnya berjalan seperti biasa dan tiada seorang pun yang membatalkan tempahan.
"Tiada sebarang perubahan kedatangan pelancong walaupun selepas kejadian penculikan itu. Hari ini juga kami menerima beberapa tempahan," katanya.
Beliau yang juga pengusaha bot berkata perusahaan bot miliknya masih mendapat tempahan seperti sebelum kejadian penculikan itu.
"Masih ramai pelancong menaiki bot kami untuk ke pusat-pusat peranginan yang ada di sini dan ini menunjukkan kes yang berlaku itu tidak memberi kesan kepada perniagaan saya serta yang lain," katanya.
Sementara seorang pemandu bas pelancong, Abdul Rahim berkata kemasukan pelancong ke pulau-pulau peranginan di sekitar Semporna tiada perubahan.
"Hari ini sahaja, saya telah menghantar 30 orang pelancong dan rakan saya yang lain juga menerima pelangan yang sama...kami sentiasa menerima pelanggan," katanya.
Sementara itu, pelancong dari Sydney yang hanya ingin dikenali sebagai Leuke, 30, berkata walaupun beliau mendengar berita mengenai kejadian penculikan itu, namun beliau serta seorang rakannya tetap meneruskan hasrat untuk melancong ke Semporna.
"Saya telah membuat tempahan ke Pulau Mataking sebelum kejadian itu, tetapi saya tidak membatalkan tempahan itu kerana kami yakin dengan keselamatan di sini," katanya yang akan bercuti ke pulau berkenaan selama tiga hari.
Seorang lagi pelancong dari Switzerland Molly, 24, berkata peristiwa tiga hari lepas itu tidak menghalang beliau dan teman lelakinya untuk memilih Semporna sebagai destinasi percutian mereka.
"Kami memang sudah mengetahui perkara itu, namun kami masih berkunjung ke sini kerana pusat peranginan di sini sangat cantik dan kami berharap pihak keselamatan Malaysia sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan di sini," katanya.
Dalam kejadian itu, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menceroboh resort berkenaan dan melarikan Gao Hua Yuan, 29, pelancong wanita dari Shanghai serta seorang pekerja resort, warga Filipina, Marcy Dayawan, 40.
- Bernama

