Kementerian Kerja Raya masih menunggu laporan siasatan punca kebakaran di Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching yang menyebabkan seorang pekerja binaan maut pada 15 Feb lepas, kata menterinya Datuk Fadillah Yusof, hari ini.

Beliau berkata meskipun dimaklumkan bahawa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) telah menyelesaikan siasatan mereka, namun jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia itu masih belum mengemukakan laporan mereka.

"Sehingga sekarang keputusan (punca kebakaran itu belum dicapai dan kita masih menunggu DOSH untuk memberi keputusan apakah hasil siasatan dan bila kerja-kerja pembaikan dan pembinaan semula dapat dijalankan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Belia 1Malaysia di Kuching.

Menurutnya buat masa ini kerja-kerja pembinaan auditorium bangunan kajian klinikal HUS yang terbakar telah dihentikan dan hanya akan diteruskan selepas mendapat kelulusan DOSH.

"Kita hanya melaksanakan apakah tindakan yang perlu dibuat (selepas memperoleh laporan punca kejadian kebakaran itu). Kalau punca disebabkan oleh kontraktor, tindakan juga akan dikenakan (ke atas kontraktor terlibat)," katanya.

Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, seorang pekerja yang dikenali sebagai Teguh Prayttono, 35, dari Indonesia maut dipercayai akibat sesak nafas terhidu asap tebal.

Teguh dikatakan sedang melakukan kerja-kerja di bahagian siling auditorium bangunan berkenaan manakala tiga lagi rakan sekerjanya yang melakukan kerja kimpalan di lokasi sama berjaya menyelamatkan diri.

Sebelum kejadian ini, projek bernilai RM35 juta itu dijangka dapat disiapkan Mac lepas.

- Bernama