Ketua Pengarah Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek berkata kapal peronda yang bertugas dalam kawasan operasinya akan ditumpukan ke kawasan yang sering menjadi sasaran penculik seperti perairan Semporna.

Ia bagi menambah kekuatan aset di kawasan tersebut sebanyak 30 peratus, katanya seperti dipetik dalam dalam satu laporan Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, langkah itu dijalankan tanpa mengabaikan keselamatan di kawasan lain termasuk Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone), katanya.

Tambahnya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bersama beberapa pegawai kanan Esscom semalam, lapor akhbar tersebut.

Kenyataan itu timbul ketika Esscom berdepan kritikan keras kerana tidak mampu menghalang tindakan keganasan dalam kawasan operasinya, seperti kes penculikan seorang pelancong China dan seorang pekerja warga Filipina oleh satu kumpulan lelaki bersenjata pada 2 April.

Dalam laporan sama, beliau turut memaklumkan bahawa Esscom berjaya mengesan lokasi persembunyian dan identiti suspek yang melarikan dua wanita tersebut.

Bagaimanapun, maklumat itu tidak boleh didedahkan kerana membahayakan keselamatan mangsa, katanya.

"Kita juga tidak boleh melaksanakan sebarang tangkapan kerana ia terletak di selatan Filipina tetapi telah bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara untuk mengejak suspek," katanya seperti dipetik dalam laporan itu.