Hospital tentera dapat peruntukan kecil
Ketua Audit Negara melahirkan kebimbangan ke atas keputusan Kementerian Pertahanan untuk meluluskan hanya 14.7 peratus peruntukan untuk hospital tentera.
Paling teruk terjejas adalah Hospital Terendak di Melaka dan Hospital Lumut di Perak yang hanya menerima 1.8 peratus dan 2.7 peratus dari peruntukan yang dimohon antara 2010 hingga 2012.
Hospital Terendak memohon RM41.3 juta peruntukan tetapi hanya menerima RM730,000, sementara Hospital Lumut, yang ditempatkan dalam pengkalan tentera laut, memohon RM21.91 juta tetapi hanya menerima RM600,000.
Dalam tempoh sama, hospital tentera berkenaan memohon sejumlah RM166 juta tetapi kesemuanya hanya menerima RM 24.48 juta, atau 14.7 peratus dari yang dipohon.
Mengulas perkara itu, Ketua Audit Negara memberi teguran bahawa peruntukan yang tidak mencukupi ini boleh menjejaskan rancangan untuk peralatan hospital lama.
"Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan patut memberi perhatian kepada program kesihatan angkatan tentera dan meluluskan peruntukan untuk menggantikan peralatan perubatan," laporan itu dipetik.

