Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi memutuskan isu sekitar pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) oleh kerajaan Selangor.

Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad Tan Sri Rozali Ismail berkata, EGM itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi membentangkan tawaran pengambilalihan untuk ditimbang dan diluluskan pemegang saham.

“Saya percaya pemegang-pemegang saham majoriti dan minoriti PNHB akan meletakkan kepentingan para pengguna air domestik dan komersial di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta kepentingan negara melebihi kepentingan komersial,” kata Rozali.

PNHB merupakan pemegang saham utama dalam SYABAS dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB).

Keputusan itu diumumkan selepas kerajaan Persekutuan bersetuju melaksanakan tindakan undang-undang bawah Akta Industri Pembekalan Air (WSIA) 2006 ke atas syarikat konsesi termasuk SYABAS dan PNSB.

“Saya tidak ada sebarang halangan kepada keputusan Kerajaan Persekutuan untuk melaksana dan menerima penguatkuasaan Akta 114, WSIA jika ia benar-benar untuk kepentingan negara dan berlandaskan undang-undang yang sedia ada seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Rozali.