Khalid Ibrahim tak minat berdebat
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak berminat untuk menyertai debat antara calon timbalan presiden PKR yang dianjurkan NGO dan aktivis sosial Ahad ini.
"Tidak ada debat sebab bukan semua ahli (calon) tinggal di Kuala Lumpur, ada yang di Sungai Lembing, Kota Bharu, lagipun kalau ada sesi debat pun kita bukan ada televisyen untuk siarkan.
"Lagipun perkara ini bukanlah satu keperluan penting tetapi ia hanya melibatkan PKR dan ahlinya sahaja," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (ini) hari ini.
Selain Khalid, calon jawatan timbalan presiden ialah penyandang Azmin Ali, Tian Chua, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Datuk K Ramachandram, dan Murali Subramaniam.
Sementara itu Azmin ketika ditemui memaklumkan beliau masih belum membuat keputusan sehingga tarikh tutup pencalonan parti esok.
"Tunggu tarikh tutup pencalonan baru umum nak debat atau tidak," katanya.
Pengarah Program Wacana Timbal Timbalan Presiden, Mohd Afandi Ramli berkata Saifuddin dan Tian Chua telah mengesahkan kehadiran mereka untuk berdebat di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Jalan Maharajalela Ahad ini.
Menurutnya, program wacana ini memberi peluang kepada calon timbalan presiden menerangkan visi dan misi merekakepada penyokong dan rakyat jika terpilih nanti.
"PKR adalah sebuah parti politik masa hadapan yang terdiri daripada pelbagai lapisan. Setiap episod drama di dalam PKR menarik minat rakyat yang menaruhkan harapan perubahan kepada negara," katanya kepada Malaysiakini.
Dalam pada itu, Azmin dan Khalid menyifatkan keputusan Saifuddin untuk bergabung dengan calon naib presiden Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli bagi menghadapi pemilihan parti Mei ini, sebagai demokrasi.
Azmin dilaporkan bergabung dengan calon naib presiden Shamsul Iskandar Md Akin, Yahya Sahri dan Dr Xavier Jeyakumar, calon ketua wanita Zuraidah Kamaruddin dan Amiruddin sendiri.
Sementara itu Khalid pula dikatakan bergabung dengan calon naib presiden Mustafa Kamil Ayub dan Elizabeth Wong, calon ketua wanita Rodziah Ismail serta calon ketua AMK Nazree Yunus.

