Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Datuk Teng Chang khim hari ini dilihat cuba 'mengajar' Timbalan Speaker Nik Nazmi Nik Ahmad tentang peraturan tetap dewan.

Ia berlaku ketika Teng diminta membenarkan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor Azmin Ali meneruskan hujah mengenai penstrukturan air negeri bawah Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA).

Teng, kini exco, yang pada mulanya mencelah bertegas untuk meneruskan penjelasannya namun ditegur dengan tegas Nik Nazmi.

Beliau berkata, berpegang pada peraturan tetap, penjelasan perlu dibuat bagi mengelakkan kekeliruan.

"Penjelasan tafsiran perlu supaya kita tidak keliru, kalau tidak kita akan membahas pada asas undang-undang itu sahaja...," katanya sambil membaca peraturan tetap.

ADUN Sungai Pinang itu kemudian membaca peraturan tetap untuk mendapatkan ruang bagaimanapun tetap ditolak Nik Nazmi.

"Ya, saya faham Sungai Pinang (Teng), Sungai Pinang pun pernah menjadi speaker dan sekarang saya jadi speaker dalam sidang ini.

"Kalau ikutkan peraturan tetap, tafsiran saya sebagai speaker adalah tafsiran akhir dalam sebarang rujukan.

“Saya faham, sekarang saya sebagai speaker minta Sungai Pinang tolong duduk," kata Nik Nazmi.

Teng terus membaca peraturan tetap namun sekali lagi Nik Nazmi meminta beliau supaya duduk.