Speaker kata Rahim tak kelirukan Dewan Rakyat
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan bahawa Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri tidak mengelirukan Dewan melalui kenyataan kontroversi pada 26 Mac lalu.
Abdul Rahim dalam kenyataannya di Dewan Rakyat pada 26 Mac berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak memintas pesawat MH370 dalam kejadian 8 Mac kerana menyangka pesawat itu berpatah balik kerana diarah oleh menara kawalan.
Beliau kemudiannya mendakwa kenyataan tersebut merupakan “sangkaannya” mengenai tindakan TUDM dalam kejadian itu.
“Selepas mendengar jawapan daripada timbalan menteri, saya memutuskan bahawa beliau tidak berniat untuk mengelirukan atau memperdaya Dewan dengan kenyataannya,” kata Pandikar Amin di Parlimen hari ini.

