Pakatan tinggal dewan selepas MP diarah keluar
Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertindak meninggalkan Dewan beramai-ramai hari ini selepas dua ahli Parlimen mereka diarah keluar oleh Speaker Pandikar Amin Mulia.
MP Gombak Azmin Ali dari PKR diarah keluar Dewan apabila beliau berterusan menuntut penjelasan speaker mengapa dia mengutamakan urusan kerajaan dan tidak mempercepat usul Azmin untuk mengecam tiga hakim.
MP PAS Sepang Hanipa Maidin juga diarah keluar ketika cuba bangun memohon izin kepada Pandikar sambil mengangkat buku peraturan mesyuarat dan menyebut "peraturan mesyuarat 22(1)".
Ini mendorong MP Pakatan yang turut tidak puashati dengan speakar, bertindak keluar beramai-ramai meninggalkan Dewan.
Sejurus sebelum meninggalkan Dewan, MP Bukit Gelugor Karpal Singh dengan tegas memberitahu speaker "supaya jangan main-main dengan perlembagaan".
Bercakap dalam sidang media kemudiannya, Hanipa berkata beliau menjadi "mangsa keadaan" di tengah kehangatan insiden Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa itu dihalau keluar.
Menurutnya, hasrat sebenarnya bangun menggunakan peraturan mesyuarat itu bagi mengemukakan usul mengenai isu KLIA 2 dan arahan supaya AirAsia pindah ke situ daripada LCCT 2 sebelum 9 Mei ini.
Menyifatkan perkara itu penting dibahaskan, Hanipa menjelaskan beliau berbuat demikian memandangkan sebelum ini Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah melakukan perkara yang sama bagi membincangkan isu syarikat Bernas.
"Belum sempat saya jelaskan, saya telah dihalau keluar. Ini satu ketidakadilan kepada saya... Lagi pun Sepang adalah kawasan saya.
"Saya jadi mangsa (keadaan). Saya amat tidak berpuas hati," kata Hanipa kepada pemberita di lobi parlimen petang ini.
Sehubungan itu, sebagai solidariti dan protes terhadap tindakan speaker yang mengarahkan kedua-dua pemimpin Pakatan itu, semua MP Pakatan Rakyat keluar Dewan.
"Kami protes apa yang terjadi dan kami keluar daripada dewan," kata MP Sungai Petani Datuk Johari Abdul.
"Kalau mereka masuk ketika ini saya tidak ada masalah... Kalau mereka masuk, saya tidak akan halau," katanya.
Sesetengah ahli parlimen Pakatan termasuk Hanipa Maidin turut dilihat memasuki Dewan selepas perbahasan berhenti rehat pada tengah hari.

