Kerajaan merancang menubuhkan hospital dalam penjara di seluruh negara untuk kemudahan kakitangan dan penghuni penjara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata kewujudan hospital itu juga bagi memberi khidmat nasihat berkaitan kesihatan serta membantu merawat penyakit berjangkit yang mungkin dihidapi kakitangan dan penghuni penjara.

"Kita rancang diadakan hospital-hospital sendiri supaya ada doktor sendiri (dalaman) yang memberi nasihat dan merawat penyakit," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Marcus Makin Mojigoh (BN-Putatan) di persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Mojigoh antara lain ingin tahu tindakan kerajaan berhubung penyakit berjangkit di penjara terutama membabitkan banduan.

Wan Junaidi berkata setakat ini 1,500 daripada 4,500 jumlah keseluruhan penghuni penjara di Malaysia menghidap penyakit seperti Hepatitis B, Hepatitis C, TB dan HIV.

"Seramai 91 daripada 14,373 jumlah keseluruhan pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara di seluruh negara menghidap penyakit berjangkit itu," katanya.

- Bernama