Masyarakat berpeluang menikmati kemudahan rawatan perubatan menggunakan teknologi nuklear pada kos lebih rendah apabila projek pusat siklotron berkapasiti tinggi di Bangi, Selangor siap dalam tempoh tiga tahun lagi.
 
Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Datuk Dr Muhamad Lebai Juri berkata pusat siklotron bernilai RM240 juta itu akan dilengkapi siklotron dengan kapasiti 30 MeV dan mampu menghasilkan jenis bahan radioisotop lebih banyak bagi merawat pelbagai jenis penyakit kronik seperti barah otak dan tulang.
 
"Fungsi siklotron adalah untuk kegunaan dalam pengimejan perubatan, radiodiagnostik dan radioterapi serta penghasilan radioisotop yang disuntik ke dalam badan pesakit bagi mengesan dan menyembuhkan penyakit.
 
"Radioisotop atau bahan radioaktif yang kita hasilkan melalui teknologi yang ada sekarang bagaimanapun terhad untuk mengesan dan merawat beberapa jenis barah biasa sahaja seperti barah payu dara dan limpa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengimejan Perubatan Ke-36 di Kota Baharu hari ini.
 
Setakat ini terdapat dua negara di Asia mempunyai teknologi canggih itu iaitu Jepun dan Korea Selatan manakala Malaysia ketika ini mempunyai empat pusat siklotron berkapasiti rendah iaitu 18 MeV dengan satu daripadanya dimiliki kerajaan dan tiga lagi swasta yang digunakan dalam bidang perubatan sahaja.
 
"Golongan berpendapatan tinggi mungkin boleh pergi mendapatkan peluang rawatan meluas di negara-negara maju kerana kos untuk satu suntikan adalah RM7,000 dan kos berkenaan tidak termasuk kos rawatan dan lain-lain.
 
"Kami harap dengan adanya pusat siklotron ini kita dapat memberi kemudahan perubatan lebih menyeluruh dan mengurangkan beban rakyat kerana pengeluaran radioisotop yang lebih efisien mampu memberi lebih manfaat," kata Dr Muhamad.
 
Selain itu, beliau berkata pusat siklotron itu akan menjadi daya tarikan kepada penduduk dari negara luar khususnya rantau Asia untuk datang ke Malaysia bagi mendapatkan kemudahan rawatan di Kota Baharu.
 
"Malaysia akan menjadi negara pertama di Asia Tenggara memiliki teknologi ini sekali gus merancakkan lagi industri pelancongan kesihatan serta jalinan kerjasama antara negara yang lebih erat," katanya.
 
- Bernama