Malaysiakini BERITA

M'sia minta agensi risikan abai 'maklumat bocor'

Nigel Aw  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggesa pasukan penyiasat dan risikan supaya tidak mengambil kira maklumat didakwa dibocorkan dari penyiasatan pesawat Malaysia Airlines MH370.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan CNN hari ini yang mendakwa satu sumber Amerika Syarikat mengesahkan bahawa menara komunikasi di Pulau Pinang mengesan isyarat dari telefon bimbit pembantu juruterbang pesawat tersebut.

"Untuk polis antarabangsa dan agensi perisikan, jangan biarakan maklumat seperti ini (kebocoran) menjejaskan siasatan mereka sendiri,” katanya dalam satu sidang media di pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia di Kuala Lumpur pagi ini.

CNN mendakwa maklumat tersebut diperolehi dari Malaysia, melalui pihak berkuasa AS.

Hishammuddin bagaimanapun enggan mengesahkan laporan tersebut dan menegaskan bahawa beliau tidak akan membuat spekulasi ke atas maklumat yang tidak disahkan kerana ia bawah siasatan polis.

“Ini untuk memastikan waris kepada mereka yang disiasat tidak akan terasa hati,” katanya lagi.

Isu berhubung isyarat telefon bimbit itu pada awalnya dilaporkan oleh akhbar New Straits Times pada minggu lalu yang menyifatkannya sebagai “panggilan terdesak untuk meminta bantuan”.

CNN dalam laporan hari ini menyebut, isyarat berkenaan adalah cubaan dari telefon tersebut untuk mencari perkhidmatan, tetapi tiada tanda menunjukkan beliau membuat panggilan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menafikan bahawa Fariq membuat apa-apa panggilan dalam penerbangan MH370.

[Baca berita penuh]