Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat mungkin perlu bersama membuat kembali deklarasi berkenaan isu hudud di negara ini.

Anwar bagaimanapun berkata, walaupun sebagai Muslim beliau percaya dengan hukum Allah, pelaksanaannya hanya boleh dilakukan secara jitu jika negara yang diterajui pemerintah yang adil dan mengikut prinsip Islam.

Justeru beliau tetap dengan pendirian agar isu tatakelola diselesaikan terlebih dahulu sebelum hudud diimplementasikan.

"Apa keutamaannya, keamanan, keadilan dan kebajikan rakyat harus diberikan keutamaan.

"Saya menjemput PAS datang membincangkan secara penuh isu ini. Seluruh pemimpin Pakatan perlu membahaskan perkara ini ," kata beliau dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Kenyataan ini muncul di ambang PAS sedang mendapatkan sokongan pemimpin PKR dan DAP untuk sokongan dua pertiga parlimen bagi melaksanakan hudud di Kelantan.

Bagaimanapun Umno yang telahpun berjanji untuk menyokong cadangan didakwa Anwar sebagai tiada 'alasan moral' kerana melakukan perkara yang bertentangan dengan implementasinya.

Anwar berkata DAP dan PKR telah lama mengakui usaha Kelantan dan bersetuju melihat Kelantan sebagai isu berasingan dengan cadangan hudud peringkat kebangsaan.

"Ini berbeza dari inisiatif Umno yang menggunakan isu ini untuk mengalihkan pandangan daripada isu rasuah dan korupsi.

"Mereka (Umno) kata sokong hudud di Kelantan tapi tolak (cadangan) hudud di Terengganu.

"Umno tidak ada alasan moral untuk membicarakan hudud kerana hudud ini salah satu aspek syariah yang menjamin keadilan dan kebajikan rakyat," kata beliau.