Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Jambatan ke-3 ke S'pura positif untuk hartanah

Bernama

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pembinaan "Jambatan Persahabatan" menghubungkan Singapura dan Johor jika menjadi kenyataan bakal melancarkan lagi aliran pelaburan dari republik itu ke negeri ini, selain merapatkan lagi
hubungan diplomatik kedua-dua negara.
 
Beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Johor melahirkan sokongan mereka terhadap cadangan pembinaan jambatan itu dan berkata sudah tiba masanya untuk laluan ketiga menghubung kedua-dua negara.
 
"Sudah semestinya keseluruhan sektor ekonomi terutamanya di Iskandar Malaysia akan menerima kesan yang positif daripada Jambatan Persahabatan itu," kata Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Johor, Koh Moo Hing kepada Bernama hari ini.
 
Beliau menjangkakan sektor hartanah akan menerima kesan paling positif kerana pembinaan jambatan itu merealisasikan hasrat rakyat Singapura untuk tinggal di Johor dan bekerja di Singapura.
 
Selain sektor hartanah kata Koh, terhadap 140 lagi sektor berkait rapat dengan hartanah akan turut menerima kesan positif jika pembinaan Jambatan Persahabatan itu dilaksanakan.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang mencadangkan pembinaan Jambatan Persahabatan untuk menambah baik rangkaian jalan di antara kedua-dua negara.
 
Kenyataan selepas Pemukiman Pemimpin-pemimpin Malaysia dan Singapura di Putrajaya baru-baru ini juga katanya, akan menjadi simbol persahabatan yang semakin berkembang di antara kedua-dua negara berjiran itu.
 
Disebabkan kos sara hidup di Singapura yang diiktiraf di antara tertinggi di dunia, ramai di kalangan rakyat republik itu berminat untuk membeli rumah di Johor dan tinggal di negeri ini, kata Koh lagi.
 
"Harga hartanah di Johor adalah satu pertiga daripada harga di Singapura, ditambah pula dengan jambatan serta Sistem Keretapi Laju, saya menjangkakan lebih ramai rakyat republik itu akan tinggal di Johor dan bekerja di Singapura," katanya.
 
Mengenai lokasi Jambatan Persahabatan itu pula katanya, selain di pusat bandaraya dan Nusajaya, kawasan Timur Johor juga amat berpotensi untuk menempatkan jambatan ketiga Malaysia-Singapura itu. 
 
Kawasan Timur Johor seperti di Pengerang kini sedang mengalami pertumbuhan yang pesat terutamanya dengan kehadiran projek mega minyak dan gas, Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia Pengerang (RAPID), kata Koh.
 
Sementara itu Presiden Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia A.Rahman Mahadi pula berkata, pembinaan Jambatan Persahabatan itu mempunyai kesan positif dan negatif terhadap negara.
 
Kesan positif pertama adalah pertambahan lebih ramai pelanggan yang memiliki pendapatan perkapita tinggi mengunjungi Johor, sekaligus akan menguntungkan peniaga-peniaga di negeri ini, kata beliau.
 
Walaupun pertambahan pelanggan daripada Singapura hasil pembinaan Jambatan Persahabatan itu itu dialu-alukan, tetapi pada masa sama terdapat juga kebimbangan bakal menaikkan harga barangan yang dijual di negeri ini, katanya.
 
"Selain itu ia juga akan menyebabkan pengaliran lebih banyak barangan bersubsidi seperti minyak masak, gula dan lain-lain barangan yang disubsidi oleh kerajaan," kata A.Rahman.
 
- Bernama