JK PKR: Lebih ramai dipanggil beri penjelasan
Jawatankuasa pemilihan PKR mengumumkan untuk memanggil beberapa orang lagi pemimpin kanan parti itu untuk menjawab aduan berhubung tuduhan salah laku dalam kempen pemilihan.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Johari Abdul berkata jawatankuasa aduan diketuai Abdul Malek Hussain telah memanggil pemimpin kanan tersebut untuk menjawab aduan ke atas mereka esok.
Bagaimanapun, nama pemimpin berkenaan hanya akan didedahkan selepas mereka tampil untuk memberi penjelasan, kata Johari lagi.
“Esok 23 April kita akan dengar beberapa rayuan dan aduan berkenaan beberapa pelanggaran (peraturan pemilihan) termasuk terhadap pimpinan tertinggi.
“Tidak adil untuk menamakan individu itu sebelum beliau mempertahankan diri di depan jawatankuasa," kata beliau dalam sidang media hari ini.
16 April lalu, Johari mengumumkan dua calon timbalan presiden Azmin Ali dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan masing-masing.
Johari berkata jawatankuasa tersebut akan melihat kenyataan Saifuddin yang menimbulkan dakwaan mengenai persengketaan antara Azmin dan seorang lagi calon timbalan presiden, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Saifuddin dalam satu wawancara yang disiarkan akhbar New Straits Times pada 12 April mendakwa anggota parti kini muak dengan persengketaan tersebut.
JPP juga merujuk kepada kenyataan Azmin dalam satu laporan stesen TV3, yang menafikan dakwaan Saifuddin bahawa PKR adalah parti berasaskan Melayu, kata Johari.

