KSU: Lawatan Obama bukan muktamadkan TPPA
Lawatan tiga hari Presiden Amerika Syarikat (US) Barack Obama ke Malaysia hanya untuk meneruskan perbincangan lanjut mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan bukan untuk memuktamadkannya dalam tempoh itu, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Bercakap kepada Bernama, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria berkata mustahil untuk Malaysia dan US memuktamadkan TPPA memandangkan ia bukan perjanjian dua hala, dan Presiden Obama hanya mewakili sebuah negara.
"Ia lebih daripada TPPA memandangkan kami juga akan berbincang mengenai dagangan dua hala Malaysia-US selain pelbagai lagi isu lain seperti industri, pendidikan dan keselamatan," katanya di luar majlis hari graduasi Persatuan Pusat Hubungan Orang Cacat Penglihatan Malaysia, di ibu negara hari ini.
Beliau berkata lawatan Obama, yang bakal menyaksikan perjanjian perniagaan, pastinya akan mengukuhkan hubungan antara dua negara.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama Obama ke Malaysia sejak lawatan bekas Presiden Lyndon Johnson pada 1966.
TPPA ialah perjanjian perdagangan bagi mengurus perdagangan, mempromosi pertumbuhan dan menyepadukan ekonomi serantau di Asia Pasifik.
-Bernama

