Pemuda PAS Kelantan mengundang para NGO Cina, yang tidak bersetuju dengan rancangan parti itu untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian bagi melaksana hudud, untuk menyertai satu pertemuan bagi memahami kebimbangan golongan itu.

Ketua pergerakan itu Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan bahawa hudud tidak mencabuli hak orang bukan Islam.

Namun, parti itu tetap sedia mendengar kebimbangan orang bukan Islam mengenai rang undang-undang yang dibakal dibentangkan menjelang Jun itu.

“Apa kata jika kita bertemu dan berbincang mengenai isu seperti ini? Saya amat percaya bahawa kita boleh menyelesaikan perkara ini dengan muktamad,” kata Ahmad Fadhli dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga setiausaha akhbar kepada menteri besar kelantan berkata, masyarakat bukan Islam “tidak perlu bimbang” mengenai hudud.

“Jika saya boleh bertanya, hak yang mana akan terjejas dengan enakmen kanun keseksaan syariah yang meliputi hudud?

“Hanya orang Islam yang layak memberi keterangan mengikut undang-undang seperti ini. Jadi, tiada apa yang perlu dibimbangkan,” katanya.

Beliau mengulas bantahan oleh sekumpulan NGO Cina hari ini yang menegasakan bahawa Malaysia adalah negara sekular.

Sekumpulan 22 NGO tersebut berpandangan bahawa walau ia hanya dikuatkuasa ke atas orang Islam, ia mungkin memberi kesan kepada orang bukan Islam.

"Salah satu dari pelbagai kes berkenaan adalah kejadian seorang pendandan rambut di Kota Baru, seorang bukan Islam, yang dikenakan saman oleh majlis perbandaran kerana menggayakan rambut seorang lelaki,” katanya.