Mahathir musuh akhbar 3 tahun berturut-turut
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini diisytiharkan sekali lagi sebagai seorang daripada 10 pemimpin dunia yang paling utama mengancam kebebasan akhbar di negara masing-masing.
Beliau telah disenaraikan setiap tahun sejak 1999 sebagai musuh utama akhbar.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini diisytiharkan sekali lagi sebagai seorang daripada 10 pemimpin dunia yang paling utama mengancam kebebasan akhbar di negara masing-masing.
Beliau telah disenaraikan setiap tahun sejak 1999 sebagai musuh utama akhbar.
Sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang disambut setiap tahun pada hari ini, Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) menamakan 10 pemimpin negara yang dianggap mempunyai rekod paling buruk mencabuli kebebasan akhbar.
Sambutan hari ini diisytiharkan secara rasmi oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak 1993 selepas agensi badan dunia itu, Unesco, dan beberapa pertubuhan wartawan Afrika meluluskan Perisytiharan Windhoek di Namibia dua tahun sebelumnya.
Perisytiharan itu menggesa kerajaan setiap negara agar menggubal peruntukan perlembagaan bagi melindungi kebebasan akhbar, selain menganggap penapisan media sebagai pencabulan serius hak asasi dan juga menyokong kewujudan media yang bebas dan pelbagai.
Selain Dr Mahathir, CPJ juga menyenaraikan dua lagi "pencabul abadi" kebebasan akhbar, iaitu Presiden Cuba, Fidel Castro yang terpilih sebanyak tujuh kali dan Presiden Tunisia, Zainal Abidin Ali (empat kali).
Sementara Presiden Zimbabwe Robert Mugabe, Presiden Russia Vladimir Putin dan pemimpin askar Colombia Carlos Castao pertama dimasukkan dalam senarai tahun ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di New York, CPJ berkata Dr Mahathir bercadang memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat bagi terus mengawal media yang sudah sedia terkongkong.
"Pegawai-pegawai (Malaysia) kini sedang menimbangkan langkah perundangan untuk mengawal Internet, satu saluran penting penyebaran berita dan pendapat secara bebas di negara ini yang media utamanya sedia dikawal dengan ketat oleh rakan-rakan politik Dr Mahathir," kata Pengarah Eksekutif CPJ, Ann Cooper.
'Relevan dan berkesan'
"Beliau telah memperalatkan media Malaysia demi mengukuhkan lagi kekuasaannya."
Pada 16 April lalu, Dr Mahathir berkata akta penerbitan akan dipinda bagi menjadikannya lebih "relevan dan berkesan" kerana hukuman di bawah akta itu tidak sepadan dengan jenayah yang dilakukan sekarang.
"Saya menyebutkan Akta ini sebagai contoh kelemahan dalam undang-undang negara yang perlu ditangani bagi mengawal penyebaran fitnah melalui dunia teknologi maklumat yang canggih," kata Dr Mahathir.
Sementara itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia Datuk Amar Leo Moggie beberapa hari berikutnya membuat kenyataan yang hampir sama.
Abdullah memberitahu, kementeriannya sedang mengkaji beberapa peruntukan undang-undang, termasuk akta penerbitan, berikutan perkembangan baru dalam bidang teknologi maklumat (IT) yang membolehkan berita disebarkan melalui Internet.
Leo pula menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak membenarkan laman-laman web dari negara masing-masing "menyebarkan fitnah" ke negara lain.
Selain pemimpin negara-negara itu, CPJ turut menamakan pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, Presiden China Jiang Zemin, Presiden Liberia Charles Taylor dan Presiden Ukraine Leonid Kuchma.
Pada sambutan hari kebebasan akhbar tahun lalu, media arus perdana negara ini tidak menyiarkan berita pemilihan Perdana Menteri dalam senarai "musuh terburuk kebebasan akhbar" ini sama sekali.
Sementara sebuah akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau , dalam laporannya membuang nama Dr Mahathir daripada senarai 10 orang pemimpin dunia yang dipilih oleh pertubuhan wartawan yang sama.
Serbuan dan rampasan
Sepanjang tahun lalu, kerajaan menutup tiga penerbitan - Detik , Eksklusif dan Al-Wasilah - selain mengehadkan pengedaran tabloid PAS, Harakah kepada dua kali sebulan, daripada lapan kali sebelumnya.
Kerajaan juga telah mendakwa pengarang akhbar pembangkang itu, Zulkifli Sulong, di bawah Akta Hasutan dan turut menghadapkan ke mahkamah seorang kakitangan syarikat penerbitan bebas, Zabidi Morad, di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.
Kementerian Dalam Negeri mengadakan serbuan dan rampasan di syarikat-syarikat penerbitan dan percetakan di Kuala Lumpur dan Selangor.
Sementara polis merampas barang jualan pengedar di Wisma Yakin dan Kampung Baru, kedua-duanya di Kuala Lumpur, dan menahan kira-kira 10 orang selama beberapa jam hingga hampir 24 jam dalam dua operasi berasingan.
Pada awal tahun ini, kerajaan sengaja melambat-lambatkan dua majalah mingguan, Asiaweek dan Far Eastern Economic Review , sehingga tiga minggu antara Februari hingga Mac. Stesten radio dan televisyen milik kerajaan pula mengadakan kempen memburuk-burukan akhbar web harian Malaysiakini.com selepas dituduh dibiayai oleh spekulator matawang George Soros.
Sementara komputer milik pengendali laman web 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Raja Kamaruddin dirampas polis pada awal Mac dan kini beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak 11 April lalu. Turut ditahan di bawah akta yang sama penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais.

