Media milik bersama, rakyat tentukan
Seperti pemimpin negara yang dipilih rakyat, media harus ditentukan oleh pembaca. Media, sama ada bebas atau tidak, terletak di tangan masyarakat. Jika orang ramai tidak membuat pilihan dengan sedar untuk menggunakan media, kebebasannya hanya angan-angan.
Seperti pemimpin negara yang dipilih rakyat, media harus ditentukan oleh pembaca. Media, sama ada bebas atau tidak, terletak di tangan masyarakat. Jika orang ramai tidak membuat pilihan dengan sedar untuk menggunakan media, kebebasannya hanya angan-angan.
Pendek kata, kebebasan akhbar bukan hanya isu di kalangan wartawan, editor dan penerbit tetapi juga isu pembaca, isu masyarakat dan negara.
Sebagai pengguna maklumat, masyarakat harus mengetahui jenis media yang memanfaatkannya dan jenis media yang merugikannya; jenis media yang kelentong, jenis media yang berani, jenis media yang propembangkang, jenis media yang bebas dan terbuka.
Apa yang digelar 'krisis keyakinan terhadap media arus perdana' sekarang sebenarnya satu proses masyarakat membuat pilihan terhadap media. Keputusan rakyat ini harus dihormati.
Tetapi ganjil sekali, kerajaan sendiri tidak menghormati keputusan masyarakat itu. Walau ia mahu rakyat - termasuk media - menghormati, malah sujud, kepada apa yang dinamakan 'keputusan majoriti' melalui peti undi.
Enggan menghormati, kerajaan sebaliknya mengambil langkah menutup atau mengawal media. Majalah Detik , Al-Wasilah serta Gosip , dan akhbar Eksklusif dan Harakah menjadi sasaran tekanan terbuka kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad.
Malah, tanpa malu-malu, beliau meluahkan saranan untuk mengetatkan undang-undang media, termasuklah memperluaskannya bagi meliputi media Internet, selain meningkatkan hukuman. Seperti menanam tebu di bibir, itu semua kononnya untuk kelihatan lebih 'relevan dan berkesan.'
Sekarang jelas bukan salah masyarakat memilih media tetapi semacam 'dendam' parti pemerintah terhadap pengundi yang tidak menyokongnya. Kerajaan Terengganu dinafikan hak mendapatkan royalti selepas ditadbir PAS, sementara pembaca dinafikan sama sekali hak membaca Detik , Eksklusif , Al-Wasilah dan Harakah (dengan lebih kerap).
Di negara kita, politiknya adalah politik dendam dan padang pertarungan itu pula tidak pernah sama rata, peraturannya tidak adil. Kuasa politik tertinggi adalah kudrat, siapa kalah jadi abu. Untuk berkongsi sedikit kuasa dan keselesaan, jadilah pengampu atau berdiam diri. Siapa yang melawan dan dipaksa berani akan menghitung hari-hari sebelum dihukum.
Hiruk-pikuk pertarungan
Nampaknya siri dendam itu belum berakhir. Sebagai sebahagian rangkaian organ masyarakat yang hidup dan berubah, media tidak dapat lari daripada terkena percikan lingkungannya. Jika masyarakat benar-benar menuntut media itu bebas, mereka boleh dan berhak membuat keputusan itu.
Sementara media, jika dibiarkan sendirian tanpa menyertai arus besar perubahan masyarakat, tidak akan mengecapi kebebasan yang diimpikan itu. Mahu atau tidak, media terpaksa dan dipaksa membuat pilihan itu. Akhirnya media bebas terpaksa condong, lama-lama berpihak kepada desakan arus deras perubahan politik. Jika media degil masih ingin terus sendirian, jadilah seekor kera sumbang!
Tetapi terlalu mesra dengan arus masyarakat, khususnya jika arus itu terus menerus memaksanya mengikuti pusaran deras itu, media bebas akan hilang perspektif. Tetapi berdiri bebas dan merdeka itu sendiri sudah cukup kuat untuk dicurigai, selalunya oleh kerajaan yang berdendam, dan kadang-kadang tidak difahami masyarakat. Akhirnya condongnya media bebas hanya sebelah pihak.
Sebenarnya, bukan dosa media untuk berpihak tetapi dalam lingkungan masyarakat yang mimpinya hanya kerana berbantalkan buku teks, atau tidak beralas apa-apa, berpihak itu sendiri bukan kebebasan media namanya, kata mereka. Padahal itulah namanya kebebasan untuk berpihak, bukan kerana ditunjuk-tunjuk, tetapi bukan kebebasan memutar-belit.
Tidak pernah wujud kebebasan media di celah-celah hiruk-pikuk pertarungan politik. Media selalunya turut serta dalam kancah itu - antagonis atau protagonis. Siapa yang bisa nyenyak tidur di tepi jalan sesak di sebelah pasar borong ketika penjual-penjualnya sedang unjuk rasa?
Ini pilihan yang tidak sukar untuk difahami dan tidak payah untuk disertai. Tetapi ia menjadi lebih payah apabila masyarakat pembaca tidak terang-terangan mengunjuk rasa untuk kebebasan media. Media kecil kumpulannya walau pengaruh halusnya luas dan mendalam.
Oleh itu, media bebas harus membuat pilihan ini: sama ada untuk menjadi mangsa dan pencatat peristiwa demi peristiwa semata-mata; atau sesekali terjun sebagai peserta, sesekali aktif dan kedepan.
Jika diberikan pilihan, daripada menjadi mangsa dungu, saya mahu menyertai arus.
FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai editor berita malaysiakini


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.