Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis cadang lokasi alternatif perhimpunan bantah GST
Diterbitkan:  Apr 26, 2014 10:15 PM
Dikemaskini: 10:35 PM

Polis meminta penganjur perhimpunan bagi bantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka pada 1 Mei ini, dipindah ke lokasi baru yang lebih sesuai.

    

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata penganjur perlu mengambil kira banyak isu keselamatan dan ketenteraman awam di bandar raya ini sebelum meneruskan perhimpunan itu di Dataran Merdeka, lapor Bernama.

    

"Kita khuatir jika diteruskan di situ, ia akan mendatangkan ketegangan dan mengganggu keselesaan orang awam.

    

"Lagi pula buat masa ini, Dataran Merdeka tidak boleh digunakan kerana masih menjalani proses menaik taraf padang dan tidak sesuai digunakan untuk sebarang aktiviti memandangkan terdapat mesin dan bahan binaan seperti besi dan kayu-kayan di sekeliling padang," katanya dalam sidang media hari ini.

    

Beliau berkata pihaknya pernah mengadakan mesyuarat bersama penganjur perhimpunan, yang dihadiri Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia S.Arutchelvam, berhubung perkara itu.

"Mereka kata hanya akan dapat bagitahu keputusan (pindah lokasi) Isnin ini selepas berbincang dengan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (Mat Sabu), namun kita berharap mereka bersetuju dan kemudian mengadakan perhimpunan itu di Padang Merbok atau Stadium Merdeka," katanya.

    

Zainuddin turut menjangkakan kesesakan jalan raya di Jalan Raja, Jalan Perak, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut pada hari perhimpunan.

    

Setakat ini, polis menerima 31 laporan membantah cadangan mengadakan perhimpunan itu, katanya. -  Bernama

Sementara itu, ketika dihubungi, jurucakap jawatankuasa perhimpunan bantah GST 1 Mei, S Arutchelvan berkata penganjur akan bermesyuarat esok bagi membincangkan tempat alternatif.

 

Arutchelvan telah bertemu dengan Zainuddin petang ini selama kira-kira 20 minit.

 

"Pada dasarnya mereka menunjukkan kepada kita gambar padang di Dataran Merdeka di mana pembinaan telah dijalankan dan kita bersetuju untuk tidak turun ke padang," katanya.

 

Menurutnya, mereka mencadangkan menggunakan jalan di hadapan Dataran Merdeka atau mungkin ruang awam lain dan pihak polis memberitahu akan menemui mereka semula.

Arutchelvan yang juga setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) berkata mesyuarat dengan pihak polis yang bermula jam 4.10 petang tadi berjalan dengan baik.

 

"Polis berkata mereka mahu membantu kami seperti menempatkan kakitangan perubatan dan ambulans, jadi mereka perlu tahu lokasi sebenarnya," katanya.

 

Arutchelvan berkata jawatankuasa itu dijangka akan membuat keputusan tengah hari esok.

ADS