Keluarga mendiang Karpal Singh menafikan penglibatan mereka dalam petisyen supaya Ramkarpal Singh dipilih menjadi calon dalam pilihan raya kecil parlimen Bukit Gelugor yang dijadual pada 25 Mei depan.

 

ADUN Dato Keramat Jagdeep Singh Deo berkata, keluarganya tidak terlibat mengumpul tandatangan supaya Ramkarpal, 38, seorang peguam terkemuka, mengisi kerusi parlimen yang diwakili bapa mereka sejak 2004.

"Ia mungkin dilakukan oleh orang ramai yang mahu melihat Ramkarpal sebagai calon Bukit Gelugor.

"Keluarga kami tidak terlibat dalam perkara itu," katanya kepada Malaysiakini .

The Star semalam melaporkan, seorang anak saudara perempuan Karpal, yang tidak mahu dikenali, mengatakan ratusan tandatangan dikumpul semasa "Akhand Path" (majlis peringatan) di Waada Gurdwara Sahib di Jalan Gurdwara pada Khamis hingga Sabtu.

Ia juga dikatakan akan dimajukan kepada kepimpinan DAP.

Ketua DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow juga berkata, lima nama terpilih oleh jawatankuasa parti negeri yang mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu pada malam Khamis.

Beliau menambah, tidak seorang pun daripada mereka pernah menjadi wakil rakyat.

[Baca berita penuh]