Selangor akan menambah sepuluh lagi pam air berkuasa diesel dari China bagi menambah kapasiti takungan air di empangan negeri itu.

Ini kerana, kata Exco Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi , selepas seminggu dipam, paras air hanya meningkat sebanyak 1.18 peratus sahaja ke tahap 40.08 peratus.

Paras selamat ditetapkan pada 50 peratus.

"Sepuluh pam itu akan sampai bulan hadapan," kata beliau dalam sidang media hari ini.

Pada 23 April lalu, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membina infrastruktur bagi kerja-kerja mengepam air untuk tujuan tersebut.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata peruntukan ini termasuk bagi membiayai pembelian 10 pam berkeupayaan tinggi untuk memastikan kerja pengepaman ini memberi kesan maksima dalam meningkatkan paras air Sungai Selangor.

Sebelum ini terdapat sembilan pam digunakan untuk mengepam air lombong ke empangan Sungai Selangor yang membekalkan 60 peratus air di Selangor.

Menjawab soalan wartawan Ahmad Yunus berkata setakat ini kerajaan telah menggunakan kurang RM1 juta dari peruntukan untuk memberi diesel bagi pam-pam yang sedia ada.

"Peruntukan yang kita dah gunakan tak sampai sejuta lagi. Hanya beli untuk diesel kepada pam tersebut. Kita belum guna peruntukan untuk beli pam baru," kata beliau.