Pandikar: Masa depan demokrasi M'sia baik
Sistem demokrasi berparlimen di Malaysia mempunyai masa depan cukup baik berdasarkan perkembangan pengisian prinsip demokrasi oleh yang 'empunya' sistem berkenaan iaitu rakyat, kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Beliau berkata oleh kerana prinsip demokrasi ialah 'kerajaan rakyat, oleh rakyat untuk rakyat', maka perkembangan yang sedang berlaku di Malaysia di bawah proses transformasi kerajaan adalah proses pengisian roh demokrasi oleh rakyat.
"Saya bukan mengatakan bahawa prinsip tersebut tidak wujud sebelum ini, tetapi saya berpandangan bahawa sistem demokrasi berparlimen di Malaysia sedang berubah atau 'transform' dari segi bentuk dan pendekatannya.
"Saya juga bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa demokrasi mesti ada batasnya. Tidak semua elemen demokrasi khususnya yang diamalkan oleh sesetengah negara di dunia hendaklah 'dipaksa' untuk digunapakai oleh negara lain," katanya.
Pandikar Amin berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk "Malaysia dan Masa Depan Demokrasi Berparlimen" sempena Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Persekutuan di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Justeru, kata Pandikar Amin demokrasi di Malaysia hendaklah dijunjung dan dihormati serta disesuaikan dengan sosio-budaya negara ini yang bukan sahaja berlainan latar belakang sosio-ekonomi tetapi juga pelbagai suku-kaum, agama dan adat resam.
Sebagai contohnya katanya tidak wajar atas nama demokrasi dan kebebasan bersuara, rakyat hanya membisu dan memekakkan telinga apabila ada pihak tertentu ingin memperjuangkan supaya budaya songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diterima di negara ini.
Pandikar Amin berkata kejayaan yang dikecapi Malaysia hari ini dalam pelbagai bidang seperti sosial, ekonomi, pembangunan, malah kesedaran ke atas pengisian prinsip-prinsip demokrasi itu sendiri, adalah hasil daripada keupayaan Malaysia melaksanakan prinsip demokrasi berkenaan berdasarkan acuannya sendiri.
Mengenai dakwaan Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia (Comango) kononnya sistem demokrasi berparlimen di Malaysia yang ditunjangi perlembagaan sebagai tidak demokratik, Pandikar Amin berkata perkara itu timbul kerana kumpulan berkenaan mengukur demokrasi berdasarkan ukuran demokrasi negara luar.
Sementara itu Pandikar Amin berkata penjawat awam tidak boleh ingkar dengan sebarang tugas yang telah diamanahkan kerana keingkaran mereka bukan sahaja dianggap sebagai mensabotaj kerajaan malah mensabotaj sistem demokrasi itu sendiri.
-Bernama

