MAS serah pesawat Boeing pada KPM
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin mengalu-alukan kesudian Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) menyerahkan pesawat terpakai Boeing 737 kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau yang juga menteri pendidikan berkata penyerahan itu sebagai tanda kerjasama untuk meningkatkan kualiti dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kursus penyenggaraan pesawat di politeknik KPM.
Sekali gus, memperkukuhkan modal insan yang berkualiti dan kompeten khususnya dalam bidang tersebut, tambah Muhyiddin.
"Ia membuktikan jalinan kerjasama yang diwujudkan akan dapat meningkatkan lagi kualiti dalam proses pengajaran dan pembelajaran melalui makmal latihan dalam program penyenggaraan pesawat di politeknik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis penyerahan pesawat MAS di Politeknik Banting petang ini.
Muhyidin juga mengumumkan satu memorandum persefahaman antara MAS dan KPM dimeterai bagi mewujudkan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam bidang pendidikan dan penyenggaraan kapal terbang.
Dalam ucapannya juga, Muhyiddin berkata industri penerbangan mengalami pertumbuhan pesat di Asia Pasifik mencecah 50 peratus dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini.
Bahkan, katanya, kadar itu dijangka akan meningkat sehingga lebih 200 peratus dalam tempoh 20 tahun lagi.
Sementara itu Bernama melaporkan beliau berkata trend ini seharusnya dilihat dari segi persediaan prasarana seperti lapangan terbang serta sumber tenaga pakar yang mampu menyokong
pertumbuhan industri tersebut.
"Menurut kajian yang dilaksanakan oleh Official Airline Guide (OAG) Aviation, kapasiti jadual penerbangan global antara Januari dan April meningkat empat peratus pada 2012 berbanding tempoh sama pada 2011.
"Dengan peningkatan industri penerbangan yang pesat ini, Malaysia berpotensi menjadi hab penerbangan di rantau ini. Industri ini dapat memberi kesan berganda kepada ekonomi memandangkan permintaan terhadap penumpang dan kargo udara semakin meningkat," katanya.
Muhyiddin berkata bagi tempoh Januari hingga Julai 2013, jumlah penumpang di lapangan terbang seluruh negara bertambah kepada 43.9 juta berbanding 38.6 juta penumpang bagi tempoh sama pada 2012.
Beliau berkata jumlah kargo udara yang dikendalikan turut meningkat kepada 529 ribu tan bagi tempoh sama.
"Dengan beroperasinya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) nanti, jumlah penumpang dijangka meningkat kepada lebih 70 juta," katanya.
Muhyiddin berkata dalam membangunkan modal insan tempatan, kerajaan mengambil langkah untuk meningkatkan standard pendidikan agar graduan Malaysia setaraf serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata tenaga kerja tempatan yang mahir akan menyakinkan pihak industri bahawa adanya pekerja dari kalangan bakat yang terbaik dengan keupayaan kreatif dan mempunyai pengalaman industri serta pengurusan yang tepat.
"Dijangka menjelang 2015, negara kita akan memerlukan lebih 10,000 orang tenaga mahir dalam bidang penyenggaraan pesawat.
"Kementerian akan terus menyokong pemantapan hala tuju bidang sains penerbangan di Politeknik Banting memandangkan ianya merupakan satu-satunya politeknik yang menawarkan program berkaitan di Malaysia," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar Politeknik Banting berusaha untuk mendapat pengiktirafan sebagai sebuah 'Approved Training Organisation (ATO) oleh industri penerbangan bagi memastikan politeknik ini dapat mengekalkan kualiti lulusannya agar seiring dengan perkembangan di industri.

