Ketua Pemuda GERAKAN Tan Keng Liang berkata, nasihat Barack Obama berhubung kesaksamaan sepatutnya diterima dengan hati terbuka oleh pihak kerajaan dan pembangkang.

Katanya, kedua-dua pihak tidak sepatutnya berkeras dengan pandangan masing-masing kerana kenyataan Obama itu perlu diambil kira demi kemajuan negara.

“Pemuda GERAKAN percaya nasihat oleh Obama itu ikhlas demi memastikan negara kita makmur dan maju ke peringkat lebih tinggi seperti negara maju lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya Malaysia mengalami pertubuhan “besar” sejak 57 tahun lalu dan masih terdapat ruang untuk kemajuan.

“Tidak perlu mana-mana pihak bersikap defensif terhadap apa-apa pandangan untuk memperbaiki negara kita.

“Masih banyak ruang untuk memajukan negara tanpa mendiskriminasi sesiapa,” katanya.

Nada kenyataannya itu berbeza dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak bersetuju dengan Obama.

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, menyokong kenyataan Obama dan mengaitkannya dengan masalah yang dialami etnik minoriti di negara ini.

Dalam kunjungan singkatnya ke Malaysia, Obama berkata Malaysia tidak akan berjaya sekiranya bukan Islam tidak mendapat peluang sama rata.