Ketua Pengarah ESSCom, Datuk Mohammad Mentek membidas peristiwa memasang atau mengibarkan bendera "Kesultanan Sulu" yang berlaku di Kampung Long Danau, Lahad Datu minggu lepas menunjukkan wujud cubaan pihak tertentu untuk memesongkan pemikiran masyarakat Suluk yang sudah lama menetap di negara ini daripada makna patriotisme yang sebenar.

    

Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

    

Sehubungan itu, beliau menggesa warganegara Malaysia dari suku kaum Suluk di negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan provokasi kumpulan tertentu yang sengaja memasang bendera terbabit di rumah mereka.

    

"Mereka yang bertanggungjawab memasang atau mengibar bendera itu sememangnya bersikap tidak patriotik terhadap kedaulatan dan kepentingan negara Malaysia yang tercinta ini.

    

"Kita tidak benarkan mana-mana pihak yang cuba menghasut dengan sengaja memasang atau mengibarkan bendera Kesultanan Sulu di bumi Sabah tercinta ini, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone)," katanya dalam majlis dialog ESSCom bersama komuniti Suluk Sabah di Tawau hari ini.

    

Turut hadir setiausaha Majlis Permuafakatan Suluk Sabah Mohd Zaki Harry Susanto dan Presiden Persatuan Rumpun Etnik Suluk Sabah Malvine Reyes @ Abdul Kahar.

    

Mohammad turut mengajak rakyat pelbagai kaum di negeri ini supaya bersatu dan menunjukkan rasa cintakan tanahair dengan kesetiaan yang tidak berbelah bagi serta tidak melindungi pendatang tanpa izin (PATI).

    

Pada 22 April lepas, seorang lelaki yang mendakwa dirinya diberi kuasa oleh 'Sultan Sulu' untuk mengurus orang Suluk di daerah ini, ditahan dalam satu operasi khas di Kampung Long Danau, Jalan Silabukan, Lahad Datu.

    

Lelaki berumur 57 tahun itu diberkas pukul 5.30 pagi pada hari tersebut kerana memasang bendera 'Kesultanan Sulu' di rumahnya.

    

Kampung Long Danau terletak tidak jauh dari Kampung Tanduo, lokasi berlakunya pencerobohan kumpulan pengganas Kiram pada awal tahun lalu yang mengorbankan 10 anggota pasukan keselamatan negara.

Mohammad berkata sususlan peristiwa berdarah Tanduo itu, kerajaan menubuhkan ESSCom yang antara lain berperanan menyelaras operasi pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan untuk menjaga kedaulatan negara dan keselamatan rakyat negeri ini, terutama di ESSZone.

    

Beliau berkata walaupun tidak ada lagi insiden baru pencerobohan pengganas Sulu yang dilaporkan namun pasukan keselamatan ESSCom yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) kini berdepan dengan cabaran besar untuk menangani jenayah rentas sempadan, khususnya kes penculikan.

    

Mohammad yakin dengan peningkatan tahap kawalan keselamatan dan kerjasama semua pihak termasuk pengusaha resort dan masyarakat maritim, jenayah penculikan mampu dibendung.

    

- Bernama