Biro Penyiasatan Kemalangan Udara Malaysia mencadangkan supaya Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengkaji faedah keselamatan memperkenalkan piawaian bagi pengesanan masa nyata pesawat pengangkutan udara komersial.

    

Ini dicadangkan dalam laporan awal oleh Ketua Inspektor Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan berdasarkan cadangan dikemukakan oleh kumpulan pakar dalaman yang ditubuhkan untuk mengkaji semua maklumat yang dimiliki oleh kerajaan Malaysia tentang Penerbangan MH370 Malaysia Airlines.

    

Pasukan itu, yang dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas, dianggotai wakil dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB), Biro Penyiasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB), Pangkalan Data Insiden Kemalangan Penerbangan (AAIB), Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) dan para pegawai Malaysia.

    

Menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini, cadangan itu dibuat kerana pada masa ini tiada keperluan bagi pengesanan masa nyata pesawat pengangkutan udara komersial yang menghabiskan sebahagian besar masa beroperasi di kawasan terpencil.

    

"Ada dua kali dalam tempoh lima tahun lepas apabila pesawat pengangkutan udara komersil yang besar hilang dan kedudukan terakhirnya tidak diketahui dengan tepat. Ini menyebabkan kesulitan untuk mengesan pesawat berkenaan secara tepat," menurut laporan itu.

Mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR), laporan itu menyatakan bahawa Pusat Penyelarasan Menyelamat Kuala Lumpur diaktifkan pada 05:30 pada 8 Mac selepas semua usaha untuk berkomunikasi dan mengesan pesawat gagal.

Menurut laporan, pusat kawalan trafik udara Ho Chi Minh bertanya kepada Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) mengenai kedudukan MH370 pada 01:38.

    

KLATCC kemudian menggerakkan usaha membabitkan Pusat Operasi MAS, Markas Tempur Udara Singapura (ACC), ACC Hong Kong dan ACC Phnom Penh untuk menentukan

kedudukan MH370.

    

"Unit-unit ATC tidak dapat membuat apa-apa komunikasi dan oleh itu Pusat Penyelarasan Menyelamat (RCC) digerakkan pada 05:30," menurut laporan itu.

Operasi SAR yang disertai pelbagai negara dijalankan di Laut China Selatan dan kemudian diperluaskan ke Selat Melaka selepas radar tentera mengesan bahawa MH370 telah berpatah balik.

Laporan itu juga menyatakan bahawa selepas Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) dimatikan, sistem komunikasi satelit secara automatik menghantar tujuh mesej yang mengesahkan bahawa sistem itu masih berfungsi ke dalam rangkaian.

    

"Mesej terakhir diterima oleh stesen satelit di bumi pada 08:19 (waktu Malaysia)," kata laporan dan menambah ia berlaku pada kedudukan 40 darjah dari satelit.

    

Berdasarkan data utama radar, analisis data satelit dan data prestasi pesawat, penyiasatan merumuskan bahawa Penerbangan MH370 terbang di sepanjang  sama ada Koridor Utara atau Selatan yang mendorong kawasan pencarian dipindahkan ke kedua-dua koridor.

    

Analisis selanjutnya terhadap data satelit Inmarsat pada 24 Mac menggunakan perubahan dalam frekuensi isyarat komunikasi satelit (mengguna pakai Doppler Effect) merumuskan bahawa MH370 terbang di ruang udara koridor selatan dan berakhir di selatan Lautan Hindi.

    

Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa berada di ruang udara Lautr China Selatan.

    

Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

- Bernama