RT di ESSzone diminta buka akaun Facebook
Semua Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) perlu membuka akaun Facebook (FB) dan menjadi rakan FB Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.
Beliau berkata usaha itu penting bagi membolehkan penduduk berkongsi maklumat seperti menerima atau menyalurkan sebarang perkara berkaitan keselamatan di kawasan masing-masing.
"Perkongsian maklumat adalah penting dalam usaha membantu memantapkan operasi pengawasan dan keselamatan bersepadu, khususnya di kawasan pantai timur Sabah," katanya ketika melancarkan Program 10 keluarga satu anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Tawau malam tadi.
Mengenai program itu, beliau berkata ia diperkenalkan untuk memastikan kawasan komuniti setempat terpelihara keselamatannya selain dapat mengeratkan silaturahim.
Sementara itu, Kurup meminta Jabatan Perpaduan Negara dan Integerasi Nasional (JPNIN) memantau penubuhan KRT dan SRS di sesebuah kawasan bagi mengelak berlaku penglibatan pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Saya harap JPNIN sentiasa memantau kerana jika ada PATI terlibat dalam KRT dan SRS, ia akan menjejaskan usaha kerajaaan untuk menjamin keselamatan rakyat," katanya.
- Bernama

