KDN: Haram novel sebab propaganda Syiah
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan novel Perempuan Nan Bercinta karya pengarang terkenal Faisal Tehrani kerana mungkin memudaratkan ketenteraman awam.
KDN dalam kenyataannya hari ini menyatakan perintah itu berkuat kuasa pada 9 April lepas mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan itu dilarang secara mutlak di seluruh negara.
Kementerian menjelaskan, pengharaman novel yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama 29 lagi buku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu dibuat kerana ia menyuntik propaganda Syiah.
Kenyataan juga menyebut, Perempuan Nan Bercinta mengandungi unsur mempertikai dan memperlekeh hadis diriwayatkan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang seolah-olah mendiskriminasi wanita, selain ia mendewakan Ahlul Bait Rasulullah secara berlebihan.
Novel itu juga didakwa menafikan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai mazhab yang diterima selain mengandungi unsur seolah-olah ajakan menentang pihak berkuasa aliran itu dengan alasan kebebasan bermazhab.
"Ia juga mungkin boleh mendatangkan implikasi negatif dengan mengelirukan pegangan syariat Islam (Ahli Sunnah Wal Jamaah) umat Islam di negara ini dan memberi implikasi serius dari sudut keselamatan dan sosial masyarakat Islam di Malaysia.
"Pertembungan dua aliran antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah juga dikhuatiri boleh mencetuskan ancaman keselamatan dan ketenteraman awam di kalangan umat Islam," menurut kenyataan itu.
Menurut KDN larangan penerbitan itu bertepatan dengan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 5 Mei 1996, yang memutuskan ajaran Islam selain Ahli Sunnah Wal Jamaah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam.
Sehubungan itu, sebarang penerbitan, penyiaran dan penyebaran buku, risalah, filem dan video berhubung ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah diharamkan.
Novel Faisal yang juga kolumnis Malaysiakini itu bertemakan feminisme Islam dan dicetak oleh Percetakan Nasional Malaysia Bhd serta dilancarkan di Seri Perdana pada 4 Julai 2012.
Faisal ketika dihubungi Malaysiakini pada 29 April lalu dengan sinis berkata, beliau “berterima kasih” kepada kementerian dan mendambakan status terbarunya itu dengan harapan dikenang sebagai seniman dan pemikir tertindas.

