Khalid diselar kerana didakwa sebelahi Kidex
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim diselar atas dakwaan meletakkan kepentingan syarikat melebihi rakyat dalam kes kontroversi Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex).
“Kami bermasalah dengan kedudukan diambil Khalid kerana kesemua keputusan negeri seharusnya yang terbaik untuk rakyat Selangor.
“Dan untuk melakukannya, ada ketikanya di mana keuntungan korporat yang bermotifkan keuntungan terpaksa dikorbankan,” kata empat ADUN DAP dalam satu kenyataan bersama.
Suara tidak puas hati terhadap Khalid ( kanan ), menteri besar PKR, itu disuarakan oleh Rajiv Rishyakaran (Bukit Gasing), Yeo Bee Yin (Damansara Utama) and Ng Sze Han (Kinrara).
Mereka merujuk laporan yang menyebut Khalid sebagai berkata, pembatalan projek RM2.42 bilion hanya kerana bantahan awam “tidak bersifat adil kepada syarikat itu”.
Lebih membingungkan, hujah tiga wakil rakyat itu lagi, perjanjian konsesi tidak ditandatangani antara kerajaan negeri dan syarikat konsesi.
“Oleh itu, persoalan berhubung tanggungjawab Selangor kepada Kidex tidak berbangkit sama sekali.
“Bahkan, tanggungjawab utama kepada rakyatnya, terutama di kawasan yang terjejas ekoran pembinaannya,” kata mereka.
Lebuh raya termahal
Ketika berlaku bantahan awam, dan wakil-wakil rakyat, Khalid memberi isyarat akan meluluskan projek itu.
Lebuh raya 14.9km itu bertujuan menghubungkan NKVE di utara, berdekatan plaza tol Damansara ke Lebuh Raya Bukit Jalil di selatan sebelah Kinrara, dan melalui tengah-tengah Petaling Jaya.
Berdasarkan kos perkilometer, ia dikatakan lebuh raya termahal setakat ini.
Rajiv ( kiri ), Yeo dan Ng berkata, pertimbangan untuk lebuh raya bertol patut berdasarkan sama ada kajian berwibawa menunjukkan ia memberi manfaat kepada penduduk.
Dan mereka berkata, ia tidak ditunjukkan.
Menurut mereka lagi, laporan trafik berkaitan Kidex juga tidak dikeluarkan dan diumumkan kepada orang ramai.
Manifesto tiada tol
Penduduk Petaling Jaya mula membantah projek lebuh raya itu dengan menubuhkan jawatankuasa bagi mencabar keputusan negeri membenarkannya diteruskan.
Mereka menuntut Pakatan menunaikan manifesto tiada lagi pembinaan lebuh raya bertol.
Kidex Sdn Bhd mempunyai dua pemegang saham iaitu Emrail (70 peratus) and Zabima Engineering Construction Sdn Bhd (30 peratus).
Emrail dikaitkan dengan seorang bekas ketua hakim melalui isterinya yang menjadi ahli lembaga pengarah sementara seorang penasihat undang-undang Umno menjadi pengarah di Emrail dan Zabima.
Ketika Kidex dianugerahkan kontrak pada 2012 oleh kerajana pusat, pemimpin Pakatan mendakwa perjanjian konsesi itu sebenarnya 'anugerah' kepada dua individu itu ekoran peranan mereka dalam krisis perlembagaan Perak pada 2009.
Kedua-dua mereka menafikan dakwaan itu.

