Seorang lelaki yang panik selepas 'terkunci' di dalam bilik mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Tanjung Bungah di George Town nekad menendang dan memecahkan pintu kaca premis berkenaan.

    

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata rakaman kamera litar tertutup mendapati lelaki itu masuk ke premis berkenaan pada pukul 2 pagi untuk mengeluarkan wang bagaimanapun mesin ATM itu tidak berfungsi.

    

"Lelaki itu kemudian cuba keluar bagaimanapun pintu bilik ATM itu pula mengalami masalah teknikal dan tertutup secara automatik. Tiada unsur jenayah dalam kes ini," katanya ketika dihubungi.

    

Beliau berkata tiada kehilangan wang dilaporkan dan lelaki itu terperangkap kira-kira 10 minit sebelum memecahkan pintu berkenaan dan beredar keluar.

    

- Bernama