Borang PKR: Tak wajib nyata keturunan
Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil mempertahankan bahawa parti itu sememangnya satu pertubuhan pelbagai kaum kerana ruangan “kaum” dalam borang keanggotaannya tidak wajib diisi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyiarkan gambar borang tersebut, yang terang-terangan mengandungi ruangan “kaum”.
“Ruang 'keturunan' borang keanggotaan PKR tidak diwajibkan. Ianya (ruangan) terbuka, bukan pilihan yang ditetapkan.
“Terpulanglah sama ada mahu isi atau tidak. Secara asasnya, ia isu yang berbeza berbanding borang kerajaan,” katanya.
Semakan Malaysiakini pada borang yang diterbitkan semula oleh Abdul Rahman itu menunjukkan parti tersebut tidak menyatakan dengan jelas sama ada terdapat ruangan yang boleh diabaikan.
Ruangan kaum dalam borang di laman rasmi PKR bagaimanapun tidak ditandakan sebagai ruangan yang wajib diisi.
Beliau menjawab kenyataan Abdul Rahman di Twitter yang mempersoalkan dakwaan PKR bahawa parti itu satu parti pelbagai kaum kerana turut meminta pemohon menyatakan keturunan dalam borang keahlian.
"Malah, PKR juga dikenali parti berbagai bangsa. Borang keahlian memerlukan kamu menyatakan bangsa. Anda fikirlah sendiri," katanya melalui twitternya.
Selain itu, Abdul Rahman turut menerbitkan gambar-gambar borang dikeluarkan kerajaan Selangor, Pulau Pinang.

