Selepas mendapat kritikan hebat ekoran komen Presidennya, Abdullah Zaik Abd Rahman bahawa Cina Malaysia merupakan 'penceroboh', Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyiarkan satu laporan yang menyatakan bahawa pendirian presidennya itu mendapat sokongan padu rakyat Malaysia.

Ia menyiarkan di lamanwebnya komen sokongan itu di bawah tajuk "ISMA dapat sokongan padu rakyat Malaysia".

“Saya yakin bahawa orang Cina ingin melupakan dan memadamkan sejarah ini. Mungkin mereka ingin menganggap Tanah Melayu yang ditukar ke Malaysia ini adalah hak milik bersama.

“Tetapi saya sebagai orang Melayu mana mungkin dapat menerima anggapan sebegitu."

Di atas adalah petikan komen oleh Encik Sulaiman dari Kuala Kurau Perak.

Sulaiman menyatakan orang Cina tidak dapat menjadikan negara ini hak milik bersama kerana nenek moyang mereka berasal dari tanah besar China dan begitu juga kaum India.

"Jadi orang Cina sepatutnya menerima kenyataan Ustaz Abdullah itu, tidak ada yang salahnya.

"Bagi saya ianya langsung tidak bersifat hasutan.

"Namun apa yang saya boleh katakan, semua ini berlaku kerana orang Melayu yang terlalu bertoleransi,” tambah Sulaiman.

Manakala Siti Khairul Bariah dari Sungai Petani, dalam komennya, turut menyatakan sokongannya kepada Abdullah.

Menurut beliau, hakikat sejarah itu perlu diperjelaskan kerana kebanyakan ramai yang mahu menafikan sejarah.

"Jadi bagi saya kenyataan dan pendirian Ustaz Abdullah ini suatu yang jelas dan harus diketahui," katanya.

[Baca berita penuh]