Umno S'gor bidas k'jaan negeri 'rampas' tanah
Badan Perhubungan Umno Selangor membidas tindakan kerajaan negeri yang didakwanya rakus 'merampas' tanah miliknya yang diduduki rakyat.
Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai tindakan kerajaan negeri yang mengeluarkan notis pengosongan kepada peneroka serta rakyat yang memiliki tanah Lesen Pendudukan Sementara (TOL).
"Ada tanah yang diteroka dan duduk tanpa geran malah ada yang telah menetap selama 40 tahun tetapi sekarang kerajaan negeri sudah mula beri notis supaya mereka kosongkan tanah. Ada juga rakyat yang sebelum ini diberi kebenaran mengusahakan tanah terbiar selama berpuluh tahun mendakwa hasil tanamannya sudah ditebang.
"Kenapa kerajaan negeri hari ini mengganas untuk mengusir rakyat yang mendiami tanah kerajaan? Kita tidak nafikan dari segi perundangan apabila menduduki tanah kerajaan memang kena keluar bila diminta kerajaan tetapi kena lihat tujuan notis itu dikeluarkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penuaian Rock Melon Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat semalam.
Noh berkata demikian ketika mengulas bantahan aman oleh peneroka tanah dari Parit 14 dan Parit 15, Sungai Panjang, Sabak Bernam semalam yang mendakwa kerajaan negeri ingin 'merampas' tanah hutan simpan Sungai Karang yang diusahakan mereka sejak hampir 70 tahun lepas.
Peneroka berkenaan menuntut kerajaan negeri menarik balik keputusan mengambil alih tanah itu selain membenarkan mereka terus mengusahakan aktiviti tanaman kelapa sawit, sawah padi dan koko di atas tanah tersebut.
Sehubungan itu, Noh berkata Umno Selangor telah menubuhkan sekretariat dipengerusikan anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi serta melantik syarikat guaman untuk memberi khidmat nasihat kepada sekretariat berhubung tindakan selanjutnya.
"Sekretariat sekarang sedang kumpul maklumat lebih terperinci dan saya harap mana-mana rakyat yang rasa tertekan kerana telah dapat notis pengosongan tanah yang telah diusahakan supaya menghubungi Umno Selangor.
"Kita akan beri nasihat dari segi perundangan dan kalau patut bawa kes ke mahkamah kita akan bawa ke mahkamah. Kita akan cuba bantu rakyat yang ditekan kerajaan negeri," katanya.
Selain itu, Noh berkata sekretariat berkenaan juga akan mengkaji premium yang dikenakan kerajaan negeri sekiranya menyerahkan tanah itu semula kepada rakyat.
Beliau berkata ia adalah bagi mengelak rakyat daripada terpaksa membayar premium mengikut harga pasaran yang ternyata tinggi.
- Bernama

