'Semua dokumen dikemuka pada pihak berkuasa'
Kidex Sdn Bhd, pemegang konsesi Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex), menafikan ia gagal mendedahkan dokumen penting termasuk kajian Penilaian Kesan Trafik kepada pihak yang berkaitan seperti didakwa sesetengah pihak.
Ketua Pegawai Eksekutif Kidex Datuk Mohd Nor Idrus berkata semua dokumen telahpun dikemuka kepada agensi berkaitan sebelum Perjanjian Konsesi dikeluarkan kepada syarikat itu.
"Kami merujuk kepada pelbagai laporan berita berhubung dakwaan dan tuntutan anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya Lee Suet Sen berkaitan kajian Penilaian Kesan Trafik bagi projek Lebuhraya Kidex.
"Kami ingin menegaskan di sini bahawa kami telahpun mengemukakan dokumen yang berkaitan kepada anggota Majlis Bandaraya dan agensi kerajaan lain semasa mesyuarat berhubung isu ini dan pembentangan berikutnya," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata penemuan seperti kesan Kidex ke atas lalulintas dan alam sekitar, pilihan jajaran, persimpangan, kebolehbinaan dan isu tanah telahpun dikemuka dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pertama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada 14 Oktober 2011.
Mohd Nor juga berkata mesyuarat itu turut dihadiri wakil Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
Pada 11 April lepas, kerajaan negeri Selangor bersetuju meneruskan projek Lebuhraya Kidex meskipun mendapat bantahan penduduk di kawasan sekitar terhadap pelaksanaannya.
Bagaimanapun, kontroversi melanda selepas Lee mendakwa Kidex gagal menyediakan dokumen dan maklumat lengkap berhubung kesan projek lebuh raya itu.
Pembinaan Kidex, sepanjang 14 kilometer, dijangka bermula tahun depan dengan anggaran kos RM2.2 bilion.
- Bernama

