Kedudukan ranking universiti tempatan di peringkat dunia bukanlah asas utama untuk memacu bidang pengajian tinggi negara ke arah kecemerlangan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    

Beliau berkata ini kerana sebahagian besar kriteria dan kayu pengukur yang diguna pakai dalam menentukan kedudukan ranking itu tidak semuanya memenuhi hasrat negara ini.

    

"Perkara yang lebih pokok kepada kepentingan negara ini adalah memastikan kecemerlangan ahli akademik, program dan institusi memenuhi aspek tiga 'R' iaitu 'relevant', 'referred' dan 'respect'.

    

"...kita perlu mencari bidang kekuatan negara dan menjadi pemimpin dunia dalam bidang itu dan ini adalah kayu ukuran yang lebih bermakna dan bersesuaian untuk semua jenis institusi pengajian tinggi (IPT) negara," katanya.

    

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa sesi dialog bersama pemimpin utama IPT, berkenaan penyediaan pelan pembangunan pendidikan Malaysia (pengajian tinggi) di Nilai hari ini.

    

Muhyiddin berkata aspek ini adalah kayu pengukur yang lebih bermakna berbanding persepsi semata-mata dan bersesuaian untuk diguna pakai oleh semua

IPT di negara ini.

    

Katanya, IPT negara yang diterajui lima universiti yang telah diberikan status sebagai universiti penyelidikan oleh pihak kementerian, berjaya melonjakkan hasil penerbitan jurnal berimpak tinggi dan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang membanggakan.

    

"Di samping kecemerlangan ini IPT juga harus memfokuskan supaya pulangan hasil penyelidikan ini dapat dirasai dan dimanfaatkan oleh rakyat. Justeru, universiti perlu meningkatkan usaha untuk merakyatkan penyelidikan mereka dengan cara yang sesuai," katanya.

    

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata perkembangan teknologi yang pesat sejak hari ini harus dimanfaatkan dalam proses pembelajaran dan pengajaran di IPT.

    

Katanya, para pensyarah dan mahasiswa kini mempunyai akses secara elektronik kepada bahan yang dibangunkan oleh profesor tersohor dari dalam dan luar negara.

    

"Kemudahan ini mampu menyokong peralihan daripada pembangunan korikulum... dalam erti kata lain perkembangan ini harus diguna pakai untuk memperkaya pengalaman pengajaran dan pembelajaran mahasiswa kita," kata timbalan perdana menteri.

    

Dalam pada itu, bagi memastikan universiti dapat meletakkan hala tuju yang lebih jelas dan melaksanakan pelan tindakan yang mantap, beliau berkata pihak lembaga pengarah universiti dan badan eksekutif perlu memahami peranan dan fungsi masing-masing.

    

Katanya, peranan badan eksekutif juga perlu dilihat semula agar universiti dapat bertindak lebih cekap dan cepat bagi memenuhi keperluan semasa yang semakin mencabar.

    

Beliau berkata bagi memastikan universiti khususnya IPTA lebih berautonomi dan berdikari dalam membuat keputusan berkaitan pembangunan universiti, kementerian akan mengurangkan karenah birokrasi dan menjadi pemudah cara bagi membantu universiti membangunkan model pengurusan yang mantap.

    

Terdahulu, Muhyiddin merasmikan kampus Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, di sini yang siap dibina pada 2011 yang menelan belanja RM105 juta.

    

AKEPT berfungsi membangunkan kepimpinan universiti bagi memastikan peranan dan sumbangan universiti selaras dengan agenda pembangunan negara.

    

Turut hadir, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Madinah Mohamed dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Kedua Datuk Seri Ir Zaini Ujang.

- Bernama