Mahkamah tangguh prosiding kes Chegubard
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menangguhkan kepada hari Rabu ini prosiding pendakwaan terhadap ketua cabang PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin atau 'Chegubard' dan dua lagi atas pertuduhan menganjurkan perhimpunan pada malam ambang tahun baru 31 Disember tahun lepas.
Hakim Ahmad Bache menetapkan tarikh itu selepas peguam mengemukakan bantahan awal sebelum pertuduhan dibacakan terhadap Chegubard, 35, yang juga Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Mohamed Bukhairy Mohamed Sofian, 24, dan Pengarah Propaganda SAMM Edy Nor Reduan, 33.
Mereka didakwa menganjurkan perhimpunan itu tanpa mengemukakan notis 10 hari sebelum tarikh perhimpunan kepada polis.
Ahmad berkata penangguhan itu bagi membolehkan mahkamah meneliti sijil perakuan segera yang difailkan pihak pendakwaan di Mahkamah Persekutuan dan hujahan daripada kedua-dua pihak.
Dalam prosiding hari ini, Ahmad berkata penelitian perlu bagi menentukan sama ada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk meneruskan pendakwaan dan menilai semula hujahan pendakwaan yang menyatakan kes itu membabitkan polisi dan kepentingan awam.
Terdahulu, peguam Gobind Singh Deo memohon untuk menghalang anak guamnya daripada dibicarakan semula terhadap pertuduhan sama setelah dilepas tanpa
dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada 28 April lepas.
Hakim Azman Mustapha melepas tanpa membebaskan Chegubard, Mohamed Bukhairy dan Edy Nor selepas membenarkan permohonan peguam bahawa pertuduhan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman itu bercanggah dengan Perlembagaan.
Gobind menyatakan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk merekodkan pengakuan daripada anak guamnya berdasarkan kepada penghakiman Mahkamah Rayuan pada 25 April lepas yang berkaitan dengan satu lagi kes perhimpunan.
"Mahkamah Rayuan pada 25 April lepas memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 adalah tidak berperlembagaan memandangkan peruntukan itu di luar batas kuasa Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin perhimpunan aman.
"Seksyen 9(5) APA 2012 sudah diisytiharkan batal dan tidak sah. Oleh itu, akta berkenaan bukanlah satu kesalahan mengikut undang-undang," katanya.
Sebaliknya, Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim berhujah Mahkamah Persekutuan belum memutuskan Seksyen 9(5) APA 2012 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
- Bernama

