Ramkarpal akan pertahan Bukit Gelugor
Teka-teki mengenai pemilihan Ramkarpal Singh untuk mempertahankan kerusi Parlimen DAP Bukit Gelugor terjawab hari ini apabila anak lelaki mendiang Karpal Singh itu diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat untuk pilihan raya kecil (PRK) kerusi tersebut pada 25 Mei ini.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membuat pengumuman itu di pusat operasi Bukit Gelugor parti itu di Jalan Greenland hari ini.
Ramkarpal , 38, seorang peguam , adalah anak ketiga mendiang Karpal Singh yang merupakan bekas MP Bukit Gelugor , yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya di Lebuhraya Utara- Selatan, berhampiran Gua Tempurung , Perak pada 17 April.
Karpal yang merupakan pengerusi kebangsaan parti sebelum ini, telah memenangi kerusi tersebut sebanyak tiga kali sejak tahun 2004.
Ramkarpal akan berdepan dengan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan dan dua calon bebas - Yacoob Mohd Noor dan Mohamed Nabi Bux - yang telah menyatakan hasrat mereka untuk bertanding kerusi tersebut.
Sementara itu, parti politik yang belum didaftarkan, Penang Front Party - gabungan 44 NGO yang telah mengisytiharkan perang terhadap DAP - belum menamakan calonnya.
MCA pula dilaporkan tidak akan meletakkan calonnya di PRK Bukit Gelugor. Dalam pilihan raya umum lalu, calonnya Teh Beng Yeam, memperolehi 13,597 undi dan tewas kepada Karpal dengan majoriti besar 42,706 undi.
Hari penamaan calon bagi PRK Bukit Gelugor adalah pada hari Isnin, bertempat di Dewan Sri Pinang , manakala hari mengundi ditetapkan pada 25 Mei.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan 17 pusat mengundi dan 139 saluran untuk pengundian biasa dan empat bagi pengundian awal .
Sehingga 17 April, kerusi Parlimen yang meliputi kawasan seluas 28 km persegi , termasuk kerusi negeri Paya Terubong , Air Itam dan Seri Delima - semuanya dimenangi DAP - mempunyai sejumlah 82431 pengundi berdaftar. [Baca berita penuh]
Sementara itu Bernama melaporkan Lim dalam ucapannya berkata Ramkarpal Singh adalah antara lima calon terbaik yang disenarai pendek oleh parti bagi PRK Parlimen Bukit Gelugor itu.
Sementara itu, Ramkarpal yang akan mempertahankan kerusi yang pernah disandang mendiang ayahnya yakin untuk memperoleh majoriti undi yang tinggi dalam PRK kali ini.
"Terima kasih kerana memberi saya peluang untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gelugor, sesuatu yang mempunyai nilai sentimental pada diri saya.
"Saya tidak rasa tertekan sebaliknya sangat bangga dengan pemilihan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Ramkarpal Singh, seorang peguam dan hanya menyertai DAP secara rasmi pada tahun ini, pernah membuat penampilan pertamanya di khalayak umum ketika berada di sisi Karpal Singh semasa kempen pilihan raya umum (PRU) ke-13 di Sekolah Tinggi Han Chiang.
Sebelum ini, di majlis malam memperingati Karpal Singh, beliau ada menyatakan kesediaannya untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Bukit Gelugor.

