Kerajaan disaran supaya memberi tumpuan kepada aspek pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang keselamatan yang baharu dan sedia ada berikutan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tokoh akademik yang juga Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata ancaman keselamatan bukan tradisional yang wujud dalam pelbagai bentuk terutama menerusi media baharu yang banyak menyebarkan elemen berunsur fitnah, hasutan dan provokasi, perlu diatasi dengan tindakan tegas.

Di samping itu, rakyat juga perlu menggunakan saluran yang betul berlandaskan undang-undang dalam menyuarakan sebarang rasa tidak puas hati atau bantahan, katanya kepada Bernama.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan berdiri teguh dengan keputusan untuk memansuh ISA kerana yakin ia merupakan kehendak majoriti rakyat.

Kerajaan pada 2011 menunaikan janji untuk melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam aspek perundangan negara, antaranya membatalkan tiga Proklamasi Darurat yang membawa kepada pemansuhan Ordinan Darurat, ISA 1971, Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 serta meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis.

Susulan itu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) diwartakan pada Jun 2012 bagi mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan setelah pemansuhan ISA dilakukan, antaranya melibatkan penahanan tanpa bicara di bawah undang-undang lama.

Turut diperkenalkan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang bertujuan menjamin hak bersuara rakyat mengikut saluran sesuai di samping memastikan ketenteraman awam tidak terjejas bagi melindungi hak dan kebebasan orang lain.

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata kerajaan tidak perlu melayan desakan sesetengah pihak yang mahukan ISA diwujud kembali, sebaliknya hanya perlu menambah baik akta baharu yang diperkenalkan supaya ia mampu menangani cabaran semasa.

"Masih ada lagi klausa tertentu yang perlu dimasukkan bagi menambah baik akta berkaitan keselamatan negara, terutamanya Sosma dan Akta Perhimpunan Aman," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya diwujudkan 'Pelan Transformasi Keselamatan' bagi kajian penambahbaikan sektor keselamatan, selain mengadakan perbincangan dengan unit keselamatan termasuk bekas ketua polis bagi mendapatkan input tentang pengurusan keselamatan.

Namun Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Negeri Sembilan, Ruslan Kasim mempunyai pandangan berbeza.

Beliau meminta kerajaan mengadakan referendum untuk mengetahui sama ada rakyat bersetuju atau tidak ISA diwujudkan kembali.

"Sejarah mengajar kita bahawa ISA telah menjadi paksi utama dalam mengekalkan ketenteraman, kesejahteraan, keamanan dan keselamatan negara yang berasaskan kepada tiga kaum utama," katanya.

Selain itu beliau berpendapat akta baharu yang menggantikan ISA terutama Sosma adalah tidak menyeluruh dan tidak berkesan dalam menentukan tindakan pencegahan seperti yang terdapat dalam ISA, katanya yang pernah ditahan di bawah ISA.

- Bernama