Hisham: Semua 'cool', rapatkan barisan dulu
Anggota Umno diminta bertenang dan merapatkan saf ekoran perkembangan terkini di Terengganu yang menyaksikan BN menjadi kerajaan minoriti ekoran bekas menteri besar dan dua lagi ADUN keluar daripada parti itu.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, mereka pernah mengalami keadaan lebih buruk sebelum ini dan beliau yakin anggota partinya di negeri Pantai Timur itu cukup matang.
“Insya-Allah buat masa ini semua cool dan rapatkan barisan dulu,” katanya di Twitter.
Menteri pertahanan itu diminta seorang pengguna media sosial itu yang mahu beliau menyuarakan sesuatu berhubung krisis terbaru Terengganu itu.
Mulai awal pagi tadi, tidak sampai 24 jam, tiga ADUN Umno, termasuk bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said ( kanan ) telah mengisytiharkan keluar parti dan menjadi bebas.
Ia ekoran tidak puas hati dengan pertukaran menteri besar negeri itu. Terdapat beberapa ADUN lagi dijangka berbuat demikian dalam masa terdekat.
Ia sekali gus mencetuskan krisis politik baru apabila BN kini menjadi kerajaan minoriti di negeri Pantai Timur itu.
Ahmad juga pada 2008 mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ketika berlaku pergolakan apabila penyokong pendahulunya sebelum ini tidak dapat menerima perkara itu.
Muhyiddin gesa sabar
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilapor meminta rakyat Terengganu bertenang dan bersabar terhadap kemelut politik itu.
“Saya berharap rakyat Terengganu dapat bertenang dan bersabar, Insya-Allah kita akan dapat jalan yang terbaik untuk selesaikan kemelut ini,” katanya dalam laman Twitter beliau, sebentar tadi.

