PAS dan PKR tidak perlu mengambil kesempatan atas krisis politik semasa di Terengganu untuk mempengaruhi wakil rakyat Umno keluar parti, kata pensyarah dan penganalisis politik terkenal.

Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff ( kanan ) berkata, jika ada ADUN atau ahli Parlimen Umno yang mahu keluar parti, biarlah mereka melakukannya sendiri tanpa pujukan dan sogokan.

“Yang jelas, kapal Umno di Terengganu semakin bocor. Bolehkah diselamatkan dari tenggelam?” katanya.

Bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said awal pagi tadi bersama dua lagi ADUN Umno mengisytiharkan keluar parti dan menjadi bebas.

Ia ekoran tidak puas hati dengan kaedah pertukaran menteri besar negeri itu. Beberapa ADUN lagi dijangka mengikut jejak langkah itu.

Ia mencetuskan krisis politik baru apabila BN kini menjadi kerajaan minoriti dengan 14 kerusi dalam DUN berbanding PAS (14), PKR (1) dan bebas (3).

Menulis dalam Facebook beliau hari ini, Mohammad Agus juga berkata, beliau fikir tidak sesuai hanya dengan tindakan beberapa ADUN keluar parti, kerajaan Terengganu bertukar tangan.

“Jika bertukar tangan, biarlah ‘rakyat’ yang menjadi penentunya. Bubarkan DUN dan serahkan pada rakyat untuk membuat pemilihan semula. Itu yang terbaik untuk menjunjung demokrasi,” katanya.

Beliau juga menggesa pengalaman di Perak pada Februari 2009 dahulu dijadikan pengajaran.

“Serahkan kembali kuasa kepada rakyat atau jika tidak mahu mengadakan pilihan raya atas alasan untuk menjimatkan kos, buatlah undi tidak percaya di lantai dewan (DUN),” katanya lagi.