Petronas jangka untung sebelum cukai RM90 bilion
Petronas menjangkakan keuntungan sebelum cukai bagi tahun kewangan 2014 masih mencecah lebih RM90 bilion walaupun pesimis terhadap prestasi pada dua suku akan datang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Shamsul Azhar Abbas berkata tahun ini merupakan cabaran bagi perniagaannya berikutan faktor kebimbangan terhadap krisis Ukraine yang berterusan.
Tambahan pula, katanya suku kedua dan ketiga, merujuk kepada mereka sebagai "tempoh musim panas", dari segi sejarah, bukan tempoh yang baik bagi perniagaan minyak dan gas.
"Bagaimanapun, ia akan meningkat menjelang akhir tahun, dan mengandaikan harga minyak kekal pada paras semasa, keuntungan sebelum cukai kami akan masih melepasi RM90 bilion," katanya pada majlis taklimat media mengenai keputusan kewangan suku pertama syarikat petroleum nasional semalam.
Sementara itu, Shamsul Azhar berkata Petronas sedang berbincang dengan beberapa syarikat untuk menjual antara 10 peratus dan 12 peratus pegangan dalam terminal gas asli cecair (LNG) Kanada.
Syarikat itu mengumumkan bahawa ia merancang untuk memegang 50 peratus kepentingan dalam projek itu dan menjual baki 50 peratus untuk berkongsi kos membawa tenaga murah ke Asia.
"Tujuannya ialah untuk mencapai sehingga 50 peratus. Kami sedang berbincang dengan tiga hingga empat syarikat untuk membeli tambahan 10 peratus," katanya.
Ditanya mengenai laporan yang menyatakan Sarawak memohon 20 peratus royalti minyak berbanding pada masa ini, 5.0 peratus, Shamsul Azhar berkata royalti lebih tinggi akan menjadi tidak ekonomi untuk projek yang sedang dijalankan, memandangkan ia dikira berdasarkan 5.0 peratus.
Bagaimanapun, katanya ia terpulang kepada kerajaan pusat untuk berbincang dengan negeri tersebut.
-Bernama

