Aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir hari ini memperolehi perintah penangguhan saman fitnahnya terhadap pemimpin Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Ini berikutan Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan penangguhan perbicaraan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang dijadual didengar mulai hari ini.

Marina memohon perintah tersebut kerana beliau mahu pemimpin ISMA yang menuduhnya orang di belakang Comango, supaya memberi keterangan terlebih dahulu dalam saman fitnahnya terhadap mereka dan bukannya beliau memberi keterangan dahulu, kerana ini adalah kebiasaan dalam saman sivil.

Comango adalah sebuah gabungan NGO berkaitan Penilaian Penggal Sejagat Hak Asasi Manusia.

Peguam Nitin Nadkarni yang mewakil Marina (kanan), berkata memandangkan mereka menuduh beliau orang di belakang Comango, maka mereka sepatutnya memberi keterangan terlebih dahlu untuk membuktikan dakwaan mereka itu.

Hakim Datuk Zaharah Ibrahim, yang mengetuai panel hakim, bersama Hakim Datuk Mohd Ariff Mohd Yusof dan Hakim Datuk David Wong Dak Wah, bersetuju untuk membenarkan penangguhan tersebut.

Berikutan ini, Mahkamah Rayuan menetapkan 26 Jun ini untuk pengurusan kes bagi mendengar rayuan Marina supaya pemimpin ISMA memberi keterangan terlebih dahulu

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini, Hakim Datuk Rosilah Yop tidak bersetuju dengan peguam Marina dan mengarahkan pendengarannya yang ditetapkan pada hari ini, diteruskan.

[Baca berita penuh]