PKR gantung keahlian Manikavasagam, Setpol MB
Keanggotaan bekas ahli parlimen Kapar S Manikavasagam digantung serta merta dari PKR kerana mendakwa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim terlibat dalam politik wang bagi pemilihan Cabang Kuala Selangor sehingga ke pengetahuan media.
Pengerusi Lembaga Displin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata kenyataan Manikavasagam terhadap Khalid itu telah disiar dalam berita TV1 dan Buletin Utama TV3 pada 11 Mei 2014, dan dalam akhbar Utusan Malaysia pada keesokan hari.
"Ini merupakan pelanggaran Perkara B.7 Tataetika Pemilihan iaitu 'Sebarang perselisihan berkaitan dengan Pemilihan Parti dilarang sama sekali dibawa kepada media atau dihebahkan kepada umum'," kata Tan dalam satu kenyataan hari ini.
Manikavasagam mencabar Khalid merebut jawatan ketua cabang Kuala Selangor pada pemilihan kali ini.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Khalid, Mustapha Mohd Talib, yang turut digantung keahlian, kerana didakwa membuat ugutan melalui perbualan telefon terhadap pembantu khas penyelaras DUN Bukit Melawati untuk menamatkan khidmat Manikavasagam sebagai penyelaras DUN itu.
Dalam kenyataan itu, Tan berkata Manikavasagam dan Mustapha akan diberi surat tunjuk sebab dan penggantungan keanggotaan mereka dibuat sehingga siasatan selesai.
Kes melibatkan mereka dibentangkan dan diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik PKR semalam, kata Tan lagi.
Hukuman itu dijangka membolehkan Khalid mengekalkan kedudukan sebagai ketua cabang Kuala Selangor kerana Manikavasagam boleh hilang kelayakan bertanding selagi masih digantung.
Sementara itu bekas ketua cabang Setiawangsa Ahmad Jufliz Faiza turut digantung kerana membuat kenyataan media 'mengkritik' Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) secara terbuka dan telah disiar dalam media.
Ahmad Jufliz semalam dilapor mengetuai sekumpulan 50 ahli PKR berhimpun depan ibu pejabat parti kerana didakwa tidak puas hati terhadap kekecohan yang berlaku dalam pemilihan parti itu.
Beliau juga dilapor tidak teragak-agak membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk membatalkan pendaftaran parti selepas banyak kecelaruan semasa pemilihan parti itu berlangsung.
"Ahmad Jufliz akan diberikan surat tunjuk sebab dan digantung keanggotaan parti serta merta sehingga siasatan selesai," kata Tan.
Lima lagi ahli turut diberi surat tunjuk sebab dan digantung keahlian antara lain melibatkan kesalahan mengganggu proses pengundian, memalsukan tandatangan pencadang dan mengkritik JPP secara terbuka, katanya lagi.

