Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan logo kerajaan negeri yang tertera pada poster 'Hudud for all in 2020' yang dipasang di tepi-tepi

jalan di bandar raya ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan negeri Jagdeep Singh Deo berkata tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu jelas menyalahi undang-undang kerana menggunakan logo kerajaan negeri tanpa kebenaran.

"Poster tersebut tiada kaitan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang dan laporan polis akan dibuat. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menurunkan kesemua poster ini," katanya pada sidang media di Georgetown hari ini.

Turut hadir calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh Deo.

Jagdeep, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Datuk Keramat, berkata demikian bagi mengulas mengenai beberapa poster dengan tulisan 'Hudud for all' dan 'Hudud in Penang 2020' yang turut menggunakan logo kerajaan negeri, bendera DAP dan gambar Ramkarpal Singh.

Sementara itu, Ramkarpal Singh berkata beliau mempunyai pendirian sama dengan mendiang bapanya Karpal Singh dan DAP yang menolak pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

"Ini adalah pendirian DAP...tiada perubahan dan kami sentiasa konsisten," katanya.

PRK Parlimen Bukit Gelugor akan diadakan pada 25 Mei berikutan kematian penyandangnya mendiang Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak, 17 April lepas.

-Bernama