Tiga orang maut dalam serangan bom awal pagi tadi ke atas kawasan penunjuk perasaan anti-kerajaan di Bangkok.

    

Pihak tentera mengecam serangan itu dan memberi amaran ia mungkin campurtangan untuk menghentikan keganasan.

    

Dalam serangan grened M79 itu kira-kira jam 2.45 pagi di Tugu Demokrasi, 23 orang cedera tetapi tiga orang kemudiannya mati di hospital.

    

Sehingga petang tadi, 10 yang cedera masih berada di hospital.

    

Ketua tentera Prayuth Chan-ocha yang mengutuk serangan itu berkata pihak tentera perlu digerakkan untuk menghentikan keganasan.

    

Pemangku perdana menteri Niwattumrong Boonsongpaisan sepatutnya berjumpa Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membincangkan pilihan raya umum 20 Julai, tetapi

ditangguh selepas penunjuk perasaan menuju ke bilik perjumpaan di Akademi Tentera Udara Diraja Thailand.

    

Dengan kejadian itu tidak pasti sama ada suruhanjaya berkenaan akan meneruskan rancangan untuk mengadakan pemilihan pada Julai.

    

- Bernama